TAMBUNAN: Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan merasmikan Mesyuarat PIBG Tahun 2022 St. Martin Tambunan hari ini.
St. Martin yang tidak asing lagi sebagai sebuah sekolah yang sentiasa melahirkan ramai pelajar yang cemerlang mengadakan mesyuarat PIBG bagi tahun 2022 setelah kelonggaran pergerakan pandemik Covid-19 diberikan tetapi kekal mengikuti SOP yang ditetapkan.
Dr. Jeffrey berkata, “Saya turut berbangga kerana St. Martin telah mengukir nama untuk mengangkat dan mengharumkan nama Tambunan dan negeri Sabah. Semua itu adalah hasil daripada kerjasama dan sokongan daripada semua pihak iaitu sekolah, ibubapa dan murid-murid itu sendiri.”
Beliau turut mengumumkan tentang permohonan sekolah untuk pembinaan bangunan kaunseling dan pembelian barangan keperluan sekolah dengan kos RM70,000 telahpun diluluskan.
Menjawab ucapan Pengetua Jenius @ Kow bin Rantisan mengenai pelbagai permohonan lain untuk penambahbaikan pelbagai prasarana sekolah, Dr. Jeffrey berkata perakara-perkara itu akan diberi perhatian dan akan diusahakan terutama berkaitan dewan sekolah yang perlu dinaiktaraf.
Dr. Jeffrey kemudiannya bersama dengan penduduk Kirokot dalam Sesi Dialog Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Loji Air Mahua di Balairaya Kampung Kirokot.
Jelasnya, “Pembinaan loji air bersih untuk keperluan bersama termasuk penduduk Kampung Kirokot merupakan faedah jangka panjang dan amat diperlukan. Kerjasama antara kerajaan dan penduduk untuk mencapai penyelesaian dan kesepakatan amat diperlukan.”
Para penduduk kampung yang diwakili oleh beberapa pemimpin menyuarakan persoalan, kemusyikilan dan tuntutan mereka berkaitan dengan projek Loji Air Mahua yang dirancang untuk dibina di Ulu sungai Kirokot.
Antaranya ialah tanah-tanah yang telah diusahakan dan tanah-tanah bergaran yang berada di dalam kawasan perlindungan dan pemuliharaan tadahan hujan tersebut.
Dr. Jeffrey memberi keyakinan kepada penduduk kampung Kirokot bahawa mereka akan pastikan semua perkara akan diteliti terlebih dahulu termasuklah kewujudan garan-garan tanah di kawasan yang terlibat.
Antara penyelesaian yang dicadangkan ialah mendapatkan tanah SAFODA yang tidak diusahakan di kawasan itu untuk dijadikan sebagai pengganti kepada tanah-tanah penduduk kampung yang berada di dalam kawasan perlindungan dan pemuliharaan untuk tadahan air.-pr/BNN