TUARAN: Kerajaan Negeri akan terus memberi penekanan terhadap pembangunan modal
insan terutamanya golongan belia dalam agenda memacu pembangunan negeri Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, selain memberi tumpuan kepada sektor utama Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ)
dalam merangsang pertumbuhan dan pemulihan ekonomi negeri, Kerajaan Negeri juga
menekankan teras kedua Pelan Hala Tuju SMJ iaitu “Pembangunan Modal Insan” dan
“Kemakmuran Rakyat”.

Menurutnya, berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia bagi tahun 2022, Sabah merekodkan jumlah populasi belia berusia 15 hingga 40 tahun lebih daripada 50 peratus dalam tahun 2020.

“Hakikatnya bukan hanya jumlah populasi yang dilihat tetapi,sebagai generasi penting dalam memacu pembangunan pada masa hadapan, golongan belia tidak akan dikesampingkan”.

“Kerajaan Negeri telah menyediakan pelbagai program dengan berpandukan tuntutan semasa dan cabaran mendatang, antaranya telah memperuntukkan sebanyak RM95.89 juta kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah dalam Belanjawan 2022 negeri, bagi melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan belia terutamanya dalam program peningkatan kemahiran dan latihan semula”.

“Tumpuan kita adalah kepada kebolehpasaran pekerja dan padanan bakat pekerjaan bagi
melahirkan golongan belia yang berdaya saing. Ini adalah antara usaha kerajaan bagi
merealisasikan hasrat belia yang ingin menyumbang kepada pembangunan modal insan,
ekonomi serta kesejahteraan sosial di Sabah”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2022
Peringkat Kebangsaan di Padang Pekan Tuaran, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Ismail Sabri Yaakub merasmikan sambutan itu. Turut
hadir Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Azumu dan Jemaah Kabinet
Negeri Sabah.

Hajiji berkata, menyantuni cadangan daripada kumpulan anak muda yang mahu memulakan perniagaan, kerajaan bersetuju memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi memperkenalkan inisiatif baharu iaitu Program Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS).

Inisiatif ini melibatkan bantuan kepada usahawan belia dan beliawanis untuk memulihkan perniagaan yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dan bantuan memulakan perniagaan.

Menurutnya, Kerajaan Negeri yang peka dan prihatin dengan isu pengangguran melibatkan golongan belia, telah melancarkan penyerahan bantuan motosikal BizRider300, sebanyak 300 buah motosikal kepada belia di negeri ini melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), pada Khamis lalu.

Katanya, usaha itu bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan kadar
pengangguran sekali gus memberi peluang pekerjaan dengan melakukan penghantaran
makanan dan keperluan harian.

Katanya, bagi memperkasakan lagi modal insan di negeri ini, satu lagi inisiatif yang ditawarkan oleh kerajaan negeri melalui Belanjawan 2022 ialah inisiatif Felo Sabah Maju Jaya.

Seramai 24 graduan sebagai kumpulan pertama telah dipilih untuk program bimbingan dan pembelajaran langsung selama enam bulan di 12 kementerian di negeri ini, bermula pada bulan Mac lalu.

Program ini merupakan kerjasama pelbagai agensi termasuk Sekretariat Hala Tuju SMJ, Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) dan Majlis Belia Sabah (MBS).

“Selain itu kerajaan juga menyediakan platform untuk generasi muda menyuarakan idea
menerusi Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS). Saya sendiri telah menghadiri sesi
perkongsian idea dan mendengar suara anak muda menerusi MPPS pada bulan Mei lalu. MPPS juga adalah inisiatif bersama IKRAR, Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas dan MBS. Saya melihat platform ini adalah medium terbaik untuk golongan muda mencatur masa hadapan negeri ini bersama kerajaan”, tegasnya.

Hajiji juga mahu melihat anak-anak muda lebih inovaif, ‘berfikir di luar kotak’ dan menggunakan pendekatan baharu dalam cara bekerja serta berfiikir.

“Golongan belia perlu lebih menonjol, dinamik dan proaktif serta bercita-cita untuk melangkaui sempadan tempatan. Terokai peluang, luaskan kemahiran anda,memupuk kreativiti dan berfikir secara kritis. Semua ini adalah antara kemahiran yang diperlukan untuk menjadi generasi yang cekap dan berdaya tahan”, tambahnya.

Beliau juga berterima kasih kepada semua warga belia selaku aset penting untuk negara, yang sentiasa bersama-sama kerajaan dalam membangunkan negeri ini dan negara.

“Semoga semua warga belia terus menyerlah menjadi belia yang berdaya saing dan dapat
memberi sumbangan dalam menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya. Kerajaan juga akan
sentiasa mengiktiraf sumbangan, pencapaan, usaha dan suara seluruh warga belia”, katanya.

Lebih 5,000 warga belia berkumpul di Tuaran bagi meraikan sambutan Hari Belia Negara 2022, dengan tema tahun ini “Ini Masa Kita”.-pr/BNN