KOTA KINABALU: Sabah paling terkesan angkara budaya lompat parti disebabkan ketiadaan undang-undang khusus yang melarang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berpindah parti.
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bobbey Suan, berkata apa yang berlaku di Sabah itu perlu dijadikan pengajaran kerana kesan daripada amalan negatif itu menyebabkan mandat rakyat dikhianati.
Berikutan itu, katanya budaya lompat parti wajar dihentikan menerusi pembentukan undang-undang khusus yang melarang perbuatan berkenaan seperti diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini dan di Dewan Negara, semalam.
“Oleh yang demikian, dengan adanya larangan ini, kita tidak perlu risau dengan budaya ketidaksetiaan seseorang pemimpin, bahkan, kita lebih membuka ruang kepada masyarakat untuk menilai siapa dan apa yang terbaik untuk membela nasib mereka.
“Ini adalah kerana, kuasa yang ada pada kita hari ini, datangnya dari rakyat, milik rakyat dan untuk rakyat,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) mengenai larangan Ahli Parlimen bertukar parti pada persidangan Dewan Negara, semalam.
Sambil menyokong penuh RUU berkenaan, Bobbey berkata, beliau yakin kelulusan RUU itu di Dewan Rakyat dan Dewan Negara disambut gembira dan senang hati oleh rakyat di Sabah.
“Namun begitu, kita juga maklum bahawa larangan ini hanya meliputi Ahli Parlimen sahaja, sebab itulah saya turut menyeru agar Dewan Undangan Negeri (DUN) dapat memulakan cadangan ini dibawa dalam perbahasan di peringkat DUN masing-masing.
“Jika usaha memanjangkan usul ini dapat direalisasikan, saya pasti usaha pendemokrasian yang lebih pragmatik akan lebih terjamin.
“Saya percaya, jika kita mampu mencapai semula kestabilan negara dari segala segi, kita akan dapat memberikan khidmat yang terbaik khususnya kepada rakyat di luar sana,” katanya.
Kelulusan RUU itu juga katanya amat signifikan bagi memastikan Malaysia segera bergerak ke arah senario politik negara yang stabil serta memartabatkan semula demokrasi.
Beliau berkata, Sabah sebelum ini mendahului dalam usaha melindungi demokrasi daripada penyakit berpindah parti melalui kelulusan RUU anti lompat parti di DUN pada 1988 namun dibatalkan selepas diisytiharkan tidak sah oleh Mahkamah Tinggi kerana bercanggah dengan undang-undang persekutuan ketika itu.
Katanya, undang-undang baharu yang lebih jelas berkaitan perkara itu bermula di peringkat persekutuan sangat perlu diwujudkan berikutan suasana politik semasa ketika ini yang tidak menentu hingga menjejaskan rakyat dan negara.
“Selama beberapa tahun ini, kita menyaksikan pelbagai peristiwa yang menggoncang kestabilan politik negara berpunca daripada kejatuhan semangat kesepaduan dan setiakawan khususnya dalam kalangan pemimpin politik tanah air.
“Siapa pernah menyangka, dalam masa dua tahun sahaja, kita telah menyaksikan tiga kali perubahan kerajaan di peringkat persekutuan, bahkan tiga kali pula kita melihat kerusi Perdana Menteri digilirkan. Keadaan ini bukanlah satu situasi yang sihat untuk Malaysia, baik dalam aspek politik, ekonomi dan sosial.
“Pada saat negara sedang bergelut dengan dua masalah gadang dalam pasca pandemik dan survivabiliti ekonomi ini, kepimpinan negara seharusnya lebih fokus untuk membantu kelompok marhaen yang terjejas.
“Tetapi disebabkan masalah siasah yang bertitik tolak daripada agenda politik oleh individu dan kumpulan rakan dalam pemain politik kita tidak kiralah demi kelangsungan agenda peribadi atau untuk tujuan yang murni seperti untuk memastikan rakyat jagaan selesa, tindakan segelintir daripada pemimpin ini menyumbang kepada ketidakstabilan politik negara.
“Kesannya, disebabkan isu-isu seperti inilah Malaysia agak ketinggalan dalam meraih peluang ekonomi sama ada di peringkat global mahupun serantau,” katanya.
Beliau mengakui sememangnya sebelum pilihan raya, matlamat parti politik bekerjasama dengan cara bergabung adalah untuk menubuhkan kerajaan yang stabil selepas memenangi pilihan raya, kerana tiada parti politik boleh memenangi pilihan raya secara bersendirian.
Katanya, berpindah parti tidak sama dengan penggabungan parti-parti politik, kerana berpindah parti oleh ahli-ahli Yang Berhormat yang dipilih oleh rakyat mengakibatkan jatuhnya kerajaan yang sah dipilih oleh rakyat.
“Kerajaan tidak akan stabil dan menjadi huru hara; mengkhianati mandat dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat; politik tikam belakang dan politik wang akan berlaku; dan akhirnya rasuah terus berleluasa.
“Dengan pengenalan dan kelulusan RUU ini akan menghentikan perbuatan berpindah parti yang tidak bertanggungjawab ini dengan serta merta. Kegagalan meluluskan RUU ini akan membawa ejekan oleh rakyat terhadap kerajaan kerana telah muak dengan pemimpin politik yang sering bertelingkah dan berpindah-randah tanpa henti,” katanya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) mengenai larangan Ahli Parlimen bertukar parti yang disokong lebih dua pertiga di Dewan Negara semalam dijangka dapat dikuatkuasakan pada pertengahan September depan.
Katanya, jangkaan itu berdasarkan tempoh masa yang diperlukan untuk RUU itu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.-pr/BNN