KOTA KINABALU: Masyarakat Tionghua memainkan peranan penting dalam
pembangunan ekonomi di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji
Haji Noor.
Sambil merakamkan terima kasih atas sumbangan yang diberikan oleh masyarakat
Tionghua kepada Sabah selama ini, beliau berkata peranan masyarakat itu dalam
pembangunan ekonomi negeri memang tidak dapat dinafikan.
“Dalam aspek pembangunan dan menjana ekonomi, kita memberi peluang kepada
semua rakyat termasuk masyarakat Cina. Tidak boleh dinafikan masyarakat Cina
memainkan peranan besar dalam pembangunan ekonomi di negeri ini.
“Masyarakat Tionghua terkenal sebagai orang yang bijak dalam berniaga dan peranan
mereka dalam ekonomi amat penting.
“Kerajaan hari ini juga amat prihatin dan sentiasa bersikap terbuka termasuk dalam
memberi peluang kepada setiap pelaburan yang datang untuk pembangunan ekonomi
serta peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini,” katanya ketika merasmikan
sambutan Pesta Tanglung sempena Perayaan Kuih Bulan di Lido Square, di sini malam
tadi.
Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan
Perindustrian Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam; Pembantu Menteri di Jabatan Ketua
Menteri, Datuk Abidin Madingkir; Presiden SAPP, Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee;
Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip; Pengarah Unit Pemimpin
Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah Datuk Matbali Musah dan Pemimpin
Pembangunan Masyarakat Luyang, Gee Tian Siong
Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus
membela nasib rakyat di Sabah tanpa mengira suku kaum termasuk kepentingan
masyarakat Cina akan terus dijaga oleh kerajaan negeri haei ini.
“Kita juga mahu masyarakat Tionghua terus memberi sokongan kepada kerajaan hari
kerana kita akan melakukan yang terbaik untuk pembangunan negeri serta rakyatnya,”
katanya yang berasa gembira dapat hadir bersama-sama rakyat Tionghua meraikan
Pesta Tanglung.
Mengenai majlis itu, Hajiji berkata kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kepada
rakyat pelbagai kaum dan agama di Sabah untuk meraikan aktiviti kebudayaan masing-
masing.
Beliau berkata kebebasan untuk meraikan kebudayaan masing-masing menjadikan
Sabah sebagai negeri yang unik serta harmoni.
“Keharmonian dalam kepelbagaian ini perlu kita teruskan. Kita bebas untuk meraikan
perayaan masing-masing dan inilah yang menjadikan negeri kita unik.
“Seperti pada malam ini, masyarakat Tionghua di sini (Luyang) meraikan Pesta
Tanglung dan kita sama-sama memeriahkannya. Suasana seperti ini perlu diteruskan
sampai bila-bila dan kita bersatu sebagai rakyat Malaysia di Sabah.
“Saya berasa amat gembira kerana hadir pada malam ini dan saya melhat ramai
masyarakat Tionghua datang untuk meraikan Pesta Tanglung,” katanya.-pr/BNN