KOTA KINABALU, 16hb September 2022: Bekas timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar “tersalah faham” mengenai usaha memulihkan 35% perwakilan Sabah dan Sarawak dalam Parlimen, kata seorang pemimpin kerajaan GRS Sabah.
Yong Yit Jee, yang juga seorang peguam dan ahli majlis tertinggi SAPP, berkata pemulihan hak wilayah-wilayah Borneo adalah selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). “Dengan kata lain, ia melibatkan hak kedua-dua wilayah Borneo.”
Wan Ahmad dilaporkan Utusan Malaysia berkata bahawa Malaysia tidak perlu bertambah kerusi parlimen (222). Beliau sebaliknya mencadangkan SPR membuat persempadan semula bagi memastikan pengagihan pengundi yang adil. Beliau juga berkata memulihkan 35% perwakilan Sabah dan Sarawak daripada 222 kerusi parlimen akan mengurangkan kerusi Semenanjung, dan mendakwa bahawa ia adalah tindakan yang tidak wajar, tidak bijak dan tidak adil bagi kawasan parlimen di Semenanjung kerana yang mahukan kerusi tambahan adalah Sabah dan Sarawak, dan kononnya hanya akan merumitkan urusan dalam pengurusan sempadan.
Yong berkata, “Sangat jelas bahawa beliau telah salah faham mengenai pemulihan 35% perwakilan Sabah dan Sarawak ini. Ini bukan mengenai sempadan atau populasi konstituen. Ini adalah mengenai pemulihan hak kami dalam MA63. Ianya adalah dua perkara yang berbeza.”
“Sekiranya SPR berpandangan tidak perlu menambah 222 kerusi Parlimen yang sedia ada, maka SPR perlu mengambil langkah untuk memastikan 35% perwakilan dari Sabah dan Sarawak dipenuhi. Semangat asal persekutuan mesti dihormati.”
“Sabah dan Sarawak tidak akan menerima cara lain kerana ini melibatkan hak di bawah MA63 yang menubuhkan Malaysia. Mengembalikan perwakilan 35% akan mengimbangi pengagihan kuasa di antara wilayah-wilayah Borneo dan Semenanjung yang membentuk Persekutuan,” katanya.
“Sejak sekian lama, pemimpin Sabah dan Sarawak telah memperjuangkan hak wilayah masing-masing dan rakyat mereka, dan pemulihan ini merupakan satu langkah besar ke masa depan untuk mendapatkan kuasa perundangan yang lebih besar.”
Pemimpin kerajaan GRS telah menjadi barisan bersatu dalam mendorong pemulihan 35% perwakilan ini. Mereka melihat ini adalah apa yang Sabah dan Sarawak perlukan untuk melindungi kepentingan mereka dalam persekutuan.
“Jadi, ini semua satu permainan nombor. Sama ada menambah 35% lebih kerusi kepada 222 sedia ada dengan meminda Perlembagaan Persekutuan atau mengurangkan kerusi di Semenanjung, rakyat di Sabah dan Sarawak mahu hak kami dikembalikan,” katanya.
“Oleh itu, saya menggesa SPR mempercepatkan proses dan memastikan 35% perwakilan Sabah dan Sarawak di Parlimen dikembalikan supaya hak dan kepentingan kita dapat dilindungi secepat mungkin.”-pr/BNN