BEAUFORT: Masalah tempat untuk meletak kenderaan yang dihadapi ibu bapa semasa mengambil anak pulang dari Sekolah Kebangsaan (SK) Beaufort mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Haji Ruslan Muharam.
“Bagi mengatasi masalah ini saya terpanggil untuk tampil memberikan bantuan. Permohonan juga sudah diberikan kepada saya oleh Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) sebelum ini, maka hari ini kita berkumpul di sini untuk tujuan tersebut,” katanya semasa menghadiri Program Gotong Royong Perdana 3K (Kebersihan, Keselamatan dan Keceriaan), di sini, kelmarin.
Kerja membina tapak meletak kenderaan itu melibatkan 50 kali perjalanan ulang alik (trip) mengangkut tanah bukit.
Ia sekaligus menyelesaikan masalah tempat letak kenderaan yang dihadapi oleh para ibu bapa.
Kerja itu dilakukan secara gotong royong dan disertai seramai 150 ibu bapa dan guru serta murid sekolah berkenaan.
Ruslan berharap agar ruang meletak kenderaan ini akan memberikan keselesaan kepada semua terutama sekali keselamatan anak mereka.
“Ini adalah sejajar dengan tema “Lumadan Sejahtera” yang ingin mensejahterakan rakyat di kawasan Lumadan,” kata Ruslan yang turut merasmikan upacara pecah tanah tapak letak kenderaan itu.
Ruslan turut mengucapkan terima kasih kepada pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Beaufort, Ahli jawatan kuasa (AJK) PIBG SK Pekan Beaufort, para ibubapa, guru, staff sekolah dan murid yang dapat meluangkan masa bergotong royong dan juga sumbangan tenaga, kewangan dan idea. -pr/BNN