KOTA KINABALU: Rakyat Sabah khususnya para belia dan pencari kerja disaran memanfaatkan sepenuhnya portal pekerjaan yang disediakan oleh jabatan dan agensi
kerajaan untuk mencari pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan mereka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan menyediakan
portal pekerjaan seperti Sabah Jobs Portal (SJP) dan MYFutureJobs merupakan
platform bagi pencarian pekerjaan setempat dan pengiklanan kekosongan jawatan
secara percuma kepada majikan dan pencari kerja dalam sektor swasta.

Beliau berkata, setakat 27 September 2022, sejumlah 5,491 pencari kerja dan 233
majikan yang menawarkan 365 kekosongan jawatan telah mendaftar dengan Sabah
Jobs Portal.

“Dengan pewujudan Portal Pekerjaan Negara, MYFutureJobs dan Sabah Jobs Portal
mampu melakukan padanan pekerjaan dan perkhidmatan kerjaya lain, selain
menawarkan inisiatif-inisiatif Kerajaan. Berdasarkan data PERKESO, sejak Januari
sehingga 16 September 2022, jumlah kehilangan pekerjaan adalah seramai 1,013,
manakala yang telah diberikan penempatan pekerjaan adalah seramai 10,971”.

“Justeru para belia dan pencari kerja disarankan untuk mendaftar dalam Sabah Jobs
Portal. Saya mahu lebih ramai lagi golongan belia atau lepasan sekolah menggunakan
portal ini untuk mencari pekerjaan”, katanya ketika merasmikan Karnival Kerjaya
Perdana Sabah Maju Jaya Tahun 2022 di Sabah International Convention Centre
(SICC), hari ini.

Karnival Kerjaya Perdana itu dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi
Sabah (KSTI) dan agensinya, Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) serta
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dengan lebih 1,500 peluang pekerjaan
ditawarkan oleh lebih 20 majikan daripada pelbagai sektor.

Hajiji berkata, sejak negara memasuki fasa peralihan ke endemik, ekonomi negara telah
beransur pulih sehingga kadar pengangguran menurun pada kadar 3.9 peratus pada
April tahun ini, dengan bilangan penduduk bekerja direkodkan seramai 15.85 juta orang
sehingga Julai 2022 di seluruh Malaysia.

 

Menurutnya, berdasarkan Statistik Utama Tenaga Buruh Malaysia, kadar pengangguran
bagi negeri Sabah sehingga Mei 2022 ialah sebanyak 9.1 peratus.

Beliau berkata, penularan pandemik COVID-19 telah menjejaskan sektor pekerjaan
sehingga menyebabkan banyak industri ditutup sekali gus menyebabkan kadar
pengangguran meningkat termasuk mereka yang diberhentikan kerja atau dibuang
kerja.

Justeru katanya, bagi menyahut cabaran yang dihadapi, kerajaan mengambil pelbagai
inisiatif termasuk penganjuran karnival kerjaya sebagai medium menghubungkan
pencari kerja dengan majikan.

Katanya, karnival kerjaya adalah platform untuk memberi pendedahan kepada golongan
belia tentang peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh industri pekerjaan swasta dalam
pelbagai bidang pekerjaan.

Hajiji berkata, usaha yang dijalankan oleh JPSM setakat ini telah menganjurkan
sebanyak enam siri Karnival Kerjaya sepanjang tahun 2022 dengan sebanyak 1,282
telah mendapat pekerjaan daripada 3,109 pemohon dengan sebanyak 14,654 jumlah
jawatan ditawarkan.

Beliau berkata, inisiatif yang dilakukan oleh PERKESO menerusi program Jamin Kerja-
Insentif Penggajian (JKIP) dapat memangkinkan penciptaan peluang pekerjaan dan

pengambilan pekerja sepanjang tahun ini. Sehingga 18 Julai tahun ini, Program JKIP
dan perkhidmatan pekerjaan MYFutureJobs telah membantu menyediakan jaminan
pekerjaan kepada kira-kira 113,672 ahli Keluarga Malaysia.

Katanya, dalam usaha merapatkan jurang penawaran dengan permintaan pekerjaan
oleh majikan dan pekerja, sebuah Pangkalan Data perlu dibangunkan dengan
mempergiat usaha pelaksanaan program outreach pemprofilan pencari kerja di seluruh
negara.

Justeru beliau menyeru kepada seluruh rakyat Sabah untuk merebut segala inisiatif dan
insentif yang ditawarkan, selain untuk menambah baik kehidupan juga berganding bahu
memulih dan memperkukuhkan semula ekonomi negara.

Majikan juga diminta supaya menyediakan peluang kerja dan insentif terbaik untuk pencari kerja.

Hajiji berkata, kerajaan amat prihatin terhadap keluhan rakyat dan sentiasa mencari
kaedah yang terbaik bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka termasuk
berkaitan pengangguran dan kehilangan pekerjaan.

Menurutnya, bagi memastikan perkara ini dapat ditangani dengan efektif, pelbagai
inisiatif berkonsepkan pekerjaan dan kerjaya telah dilaksanakan untuk membantu
mereka yang benar-benar terkesan dan memerlukan.

 

“Saya telah memperkenalkan inisiatif baharu dikenali Skim Jaya Usahawan Belia
(SYABAS) bagi membantu belia Sabah mengembangkan perniagaan sedia ada, atau
memulakan perniagaan baharu setelah kehilangan pekerjaan selepas pandemik
COVID-19”.

“Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk program SYABAS bagi
menyediakan bantuan kewangan kepada para usahawan belia negeri ini”, tambahnya.-pr/BNN