KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri dijangka mengutip dalam lingkungan RM2.45 bilion setahun secara berterusan royalti dan bayaran SST daripada sektor minyak dan gas berikutan kemasukan Petrochemicals (PetChem) dalam enakmen SST baru-baru ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, bergantung kepada pergerakan harga minyak, negeri Sabah boleh menjangkakan untuk mengutip jumlah royalti dan bayaran SST itu setahun.

Menurutnya, berikutan kemasukan PetChem dalam enakmen SST, Petronas Chemical telah
membuat sumbangan tambahan sebanyak RM10 juta untuk bulan Ogos tahun ini kepada kutipan SST negeri Sabah untuk operasi SAMURnya di Taman Perindustrian Minyak & Gas Sipitang (SOGIP).

Beliau turut mengesahkan bahawa Hibiscus Petroleum telah menjelaskan semua pembayaran SST tertunggak.

“Kami berharap untuk membangun dan mengembangkan perniagaan minyak dan gas dengan semua syarikat minyak dan gas dalam suasana perkongsian harmoni”, katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Bekalan Gas Asli dan Pertukaran Dokumen Perjanjian Jual Beli Aset dan Perniagaan Gas di antara PETRONAS dan Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd. (SEC) di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan merangkap Menteri Kewangan II, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun.

Hajiji turut mengesahkan bahawa cadangan Kerajaan Negeri untuk menubuhkan cawangan
Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) kini telah berjaya dengan termeterainya Memorandum
Persefahaman (MoU) antara UTP dan University College Sabah Foundation (UCSF), yang akan meningkatkan lagi pembangunan modal insan Sabah dan keupayaan untuk menyokong sektor minyak dan gas (O&G) selaras dengan visi Sabah Maju Jaya.

”Saya juga berasa amat bangga dengan kemajuan dan pembangunan ini. Kerajaan Negeri
mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan PETRONAS kerana menunjukkan komitmen serta sentiasa mendengar tuntutan Sabah terhadap industri minyak dan gas”.

“Sekaligus membuka lebih banyak ruang kerjasama antara Kerajaan Negeri dan PETRONAS
dalam usaha memastikan apa yang terbaik untuk Sabah dan rakyatnya”, tambahnya.-pr/BNN