TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, generasimuda zaman sekarang semakin canggung bercakap dan berbual dalam bahasa sukuan
masing-masing.

Katanya, keadaan itu berlaku disebabkan kelemahan masyarakat itu sendiri yang tidak
menggunakan bahasa ibunda apabila bertutur dengan anak-anak.

“Ini bukan salah teknologi, sebaliknya kelemahan kita sendiri kerana meskipun kita mahir
berbahasa suku masing-masing, namun apabila bertutur dengan anak-anak, kita
cenderung tidak menggunakan bahasa ibunda”.

“Saya berharap dengan penganjuran dan pertandingan lagu-lagu suku kaum di Sabah
seperti Anugerah Carta Lagu Popular Bajau, ia akan menjadi satu usaha untuk menggalakkan generasi muda kita untuk mahir bertutur dalam bahasa ibunda masing-
masing”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Carta Lagu Popular Bajau SABAHVfm
Musim ke-8 di Pentas Terbuka Pusat Kebudayaan Persatuan Rumpun Bajau Sama
Sabah, Tuaran, hari ini.

Program itu adalah anjuran bersama Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah (Unit
SABAHVfm) dan Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah.

Justeru Hajiji yang juga Menteri Kewangan Negeri berharap langkah RTM memperkasakan lagu-lagu suku kaum seperti Bajau, Kadazan, Dusun, Murut, dan suku-suku lain di Sabah, secara tidak langsung akan mengangkat dan memartabatkan bahasa sukuan di negeri ini.

“Ia bukan bermakna, kita membelakangkan atau menjadikan Bahasa Malaysia sebagai
bahasa kedua, sebaliknya kita berusaha agar generasi muda tidak melupakan bahasaibunda yang akhirnya akan menjadi punca kepada kepupusan bahasa ibunda masing-masing”, tegasnya.

Katanya, muzik dan lagu sama ada Bajau, Kadazandusun, Melayu, Cina atau India
membentuk dan mewujudkan identiti budaya kita yang unik melalui penggunaan bunyi
instrumen dan irama yang unik.

 

“Justeru, saya gembira melihat RTM mengambil beberapa langkah ke hadapan dalam usaha memartabatkan bahasa pelbagai suku kaum di Sabah. Kita sedia maklum di negeri Sabah terdapat lebih 33 etnik, dengan 50 bahasa dan 80 dialek yang berbeza.

Kumpulanetnik kedua terbesar di Sabah adalah Bajau, yang meliputi Bajau di kawasan pantai barat dan pantai timur Sabah”.

“Saya melihat ACLPB SABAHVfm Musim ke-8 ini amat bertepatan kerana Ia bukan
sahaja mengetengahkan bakat pencipta dan penyanyi dalam bahasa Bajau, tetapi secara
tidak langsung berupaya memupuk minat dalam kalangan generasi muda suku kaum
Bajau untuk mempelajari dan seterusnya bertutur dalam bahasa ibunda mereka”,
tambahnya.

Hajiji juga berharap semua usaha dan inisiatif yang dilakukan pihak RTM mampu
mengangkat kembali bahasa suku kaum yang ada di negeri ini.

Anugerah Carta Lagu Popular Bajau (ACLPB) merupakan pertandingan dwi-tahunan
yang telah bermula pada tahun 2006. Pertandingan ini tidak dapat diadakan sejak dua
tahun lalu berikutan pandemik COVID-19.-pr/BNN