PAITAN:  Penggabungan parti politik dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS)
penting sebagai platform terbaik untuk menyuarakan kehendak dan aspirasi Sabah
kepada Kerajaan Persekutuan.

Pengerusi GRS Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata untuk Sabah
tidak diabaikan dan untuk Sabah mengangkat soal pembangunan, Sabah
memerlukan satu gabungan parti politik yang mantap.

Katanya gabungan parti-parti politik dalam GRS ini juga menjadi landasan terbaik
untuk Sabah memperjuangkan beberapa perkara yang belum ditunaikan oleh
Kerajaan Persekutuan yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)

“Kita mahu dana pembangunan yang banyak disalurkan di kawasan kita supaya
melalui suara politik yang kuat, perkara-perkara yang kita kehendaki itu dapat
dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya pada Jelajah GRS DUN Sugut di
Pentas Rakyat Daerah Kecil Paitan, semalam.

Lebih 1,000 orang hadir pada program tersebut yang turut dihadiri Timbalan Ketua
Bahagian BERSATU Beluran Samad Jambri, Timbalan Ketua Bahagian Parti Bersatu
Sabah (PBS) Sugut Jamika Jeppy, Ketua Bahagian Parti Solidariti Tanah Airku
(STAR) Sugut Rasipah Nasir dan Ketua Bahagian Pertubuhan Kebangsaan Sabah
Bersatu (USNO) Sugut Jamri Sabu.

Ronald yang juga Naib Presiden BERSATU berkata permintaan-permintaan daripada
Sabah dan Sarawak ini kini lebih jelas didengar dan direstui oleh Kerajaan
Persekutuan.

Katanya bagi Sabah memang sudah ada kehendak dan aspirasi ditunaikan oleh
Kerajaan Persekutuan, namun masih ada beberapa permintaan perlu diperjuangkan
untuk pembangunan negeri ini dan kesejahteraan rakyat.

Menyentuh pembangunan di kawasan Parlimen Beluran, Ronald menjelaskan usaha
itu tidak berhenti dan terus diperjuangkan disebabkan masih ada kawasan khususnya
di luar bandar memerlukan perhatian oleh kerajaan terutamanya berkaitan prasarana
antaranya jalan raya, sekolah daif dan bekalan air.

“Memang ada usaha-usaha dilakukan dalam aspek pembangunan dilaksanakan diBeluran untuk kesejahteraan rakyat tetapi ia masih belum mencukupi dan perlu
diteruskan.

“Sebab itu kita harus terus kekal, untuk menyokong kerajaan di peringkat negeri dan
peringkat persekutuan, supaya hasrat kita ini dapat kita langsungkan untuk tempoh
lima tahun akan datang ini,” kata Ronald.-pr/BNN