KOTA KINABALU: Malaysian Community Care Foundation (MCCF) berharap agar semua parti politik agar mematuhi undang-undang dan tidak membuat sebarang provokasi yang boleh menganggu gugat ketenteraman awam di negara ini.

Menurut Pengerusi Perhubungan Negeri MCCF Sabah, Datuk Awang Jaafar Wahid berkata, aktiviti seumpama ini sudah tentu akan mewujudkan kebimbangan dalam kalangan orang awam terutama ketika menjelang musim pengundian pada 19 November nanti.

Katanya, insiden kejadian yang berlaku sehingga menyebabkan kekecohan mengakibatkan pihak berkuasa terpaksa mengeluarkan gas pemedih mata dilepaskan di pusat penamaan calon di Tenom, Sabah hari ini.

“Kejadian ini seolah-olah wujud budaya baharu iaitu mendatangkan ketakutan serta kekecohan terutama dalam kalangan penduduk di sekitar daerah Tenom.

“Kita kesal mengapa perkara ini berlaku di kawasan yang tidak pernah terjadi benda-benda kekerasan seperti ini.

“Saya mohon agar pihak berkuasa mengambil tindakan drastik agar keadaan ini tidak akan merebak di kawasan lain di Sabah sehingga menimbulkan kerisauan dalam kalangan pengundi nanti,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Awang Jaafar berkata, dalam tempoh sama sepatutnya pemimpin parti cuba menenangkan kalangan penyokong mereka agar tidak wujud masalah keganasan berlaku dalam sistem Pilihan Raya di negara ini.

“Kita menolak sebarang provokasi dan budaya keganasan yang berlaku dan mengingatkan bahawa negeri Sabah bukan tempat untuk mengamalkan budaya seperti ini.

“Kita harap agar semua parti bertanding bersabar serta menyerahkan kepada kebijaksanaan serta menghormati keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR),” katanya.-pr/BNN