TENOM: Calon Bebas bagi kerusi Parlimen Tenom, Riduan Rubin, menggariskan enam fokus utama dalam melaksanakan perubahan di daerah ini sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), pada 19 November ini.
Memilih simbol gajah sebagai lambang dalam kertas undi, begitulah juga besar dan kuatnya azam anak muda berumur 30 tahun ini untuk menawarkan khidmat bakti yang lebih segar dan bertenaga kepada rakyat Tenom.
Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pemasaran dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Riduan meletakkan aspek pendidikan sebagai fokus pertamanya dengan misi bagi memantapkan prestasi pendidikan di Tenom dan Daerah Kecil Kemabong.
Pada masa sama, katanya beliau turut menumpukan usaha bagi membantu menaik taraf prasarana pendidikan, memberikan bantuan kepada pelajar yang melanjutkan pendidikan di peringkat tertinggi dan memberi kerjasama kepada Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan.
Sebagai anak jati Murut dari Tenom, Riduan juga tidak lupa terhadap aspek kemasyarakatan dan kebajikan di daerah ini yang diletakkan sebagai perkara kedua dalam perjuangannya jika terpilih sebagai Ahli Parlimen Tenom.
Melalui aspek itu, beliau antaranya menyarankan kepada kerajaan supaya memperbanyakkan bantuan terutama golongan yang memerlukan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan membantu golongan masyarakat yang memerlukan kebajikan.
“Saya juga akan mewujudkan Pusat Informasi Belia untuk membantu para belia dan beliawanis dalam pelbagai aspek seperti pendidikan, pekerjaan, kebajikan dan keusahawanan.
“Begitu juga usaha memperkasakan kaum wanita dan belia dalam peluang pekerjaan selain memperkasakan seni budaya daerah Tenom bakal dilaksanakan,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Manifestonya di Dewan Serbaguna Komplek Tenom, hari ini.
Beliau turut menggariskan tumpuan dalam pembangunan infraatruktur dan prasarana termasuk usaha menyediakan kemudahan air bersih untuk Daerah Tenom dan Daerah Kecil Kemabong.
Pada masa sama, katanya beliau akan memohon kepada kerajaan untuk melaksanakan pembinaan jalan raya baharu menghubungkan Melalap di daerah ini dengan Membakut sebagai laluan baharu.
“Usaha menaik taraf jalan raya di kampung-kampung juga akan dilaksanakan dan saya akan memohon kepada kerajaan untuk melaksanakan pembasmian kemiskinan dengan melakukan pembangunan setempat meneroka tanah kerajaan,” katanya.
Riduan turut menggariskan usahanya untuk menaik taraf Jalan Keningau – Tenom hingga ke Kuala Tomani, menaik taraf Jalan Tenom-Sipitang dan memohon peruntukan secukupnya untuk menaik taraf kereta api Tenom- Beaufort dengan segera atau membina jalan raya Tenom-Pangi-Rayoh
Kataya, usaha mencantikkan landskap Pekan Tenom juga tidak akan dilupakan.
“Pada masa yang sama saya juga akan menekankan aspek kerohanian yang membabitkan usaha menaik taraf rumah-rumah ibadat di Tenom dan Kemabong, memperjuangkan kebajikan Imam, Pastor, Paderi dan Pemimpin agama Buddha,” katanya.
Sebagai anak muda, Riduan juga tidak lupa keperluan belia dan generasi muda di daerah ini menerusi pembangunan aspek sukan dan rekreasi.
Menerusi aspek itu, katanya beliau akan mewujudkan pusat rekreasi untuk belia dan beliawanis di DUN Melalap dan DUN Kemabong, memperbanyakkan program seminar untuk membantu belia dan bellawanis dan membantu meningkatkan kemudahan prasarana sukan di Daerah Tenom dan Daerah Kecil Kemabong.
“Saya juga akan membantu para atlet untuk mencapai sukan berpestij dan memperkasakan pusat E-sport yang berdaya saing selain mewujudkan Akademi Bola Sepak di Tenom,” katanya.
Paling tidak boleh diabaikan katanya ialah usaha memperkasakan ekonomi Tenom yang menjadi nadi kemajuan dan pembangunan daerah yang dikenali sebagai antara pengeluar hasil pertanian utama di Sabah.
Menerusi aspek itu, katanya beliau akan memohon kepada kerajaan untuk membina kilang buah-buahan bagi membolehkan petani mengeluarkan hasil pertanian yang berkualiti tinggi di samping mewujudkan peluang pekerjaan kepada belia dan bellawanis di Daerah Tenom dan Daerah Kecil Kemabong.
“Saya juga merancang untuk mewujudkan pusat kraftangan di daerah Tenom dan merangka serta melaksanakan Dasar Ekonomi Pedalaman Tenom untuk merebut peluang limpahan kekayaan ekonomi Ibu Kota baharu Indonesia iaitu Nusantara di Kalimanatan untuk menambah pendapatan rakyat Tenom,” katanya.-pr/BNN