PAPAR: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menafikan pemberian
geran tanah kepada penduduk kampung yang dilakukan kerajaan Gabungan Rakyat
Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN) ketika ini adalah atas usaha Parti Warisan
(WARISAN).

Sebaliknya beliau berkata, usaha itu yang dilaksanakan menerusi Program
Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) sejak 2011 adalah atas usaha
kerajaan BN sebelum ini.

Katanya, Kerajaan GRS-BN meneruskan usaha yang dilaksanakan kerajaan BN itu bagi
memastikan penduduk kampung yang belum memiliki geran tanah mendapat hak
mereka masing-masing.
“Tidak guna kita maju tapi ada lagi orang kampung kita yang susah, tiada tanah. Oleh
kerana itu kita minta permohonan tanah orang kampung yang sudah lama supaya
disukat.

“Namun, WARISAN sebar kononnya itu usaha mereka. Ini satu pembohongan kerana
kita sudah ada program PANTAS sejak 2011 lagi, iaitu ketika dalam kerajaan BN.

“Tapi, apabila mereka (WARISAN) memerintah, mereka ambil semua usaha yang
dilakukan BN, mereka kata itu usaha mereka, ini semua bohong,” katanya pada Majlis
Himpunan Jentera Wanita Muafakat GRS-BN Papar, di Kampung Sungai Padang, hari
ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis, Tamin Zainal; ADUN
Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar; bekas ADUN Pantai Manis, Datuk Seri
Panglima Abdul Rahim Ismail, Ketua Wanita UMNO Papar, Datuk Rosnah Abdul Rashid
Shirlin dan calon GRS kerusi Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, pemimpin parti lawan, khususnya WARISAN
hanya pandai bercakap dan menganggap apa yang dibuat orang lain adalah salah.
“Shafie (Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal), apabila dia berucap ingat
dia saja yang pandai dan orang lain salah.

 

“Tapi berapa tahun jadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Kuala Lumpur,
tengok di Semporna, mangsa kebakaran ketika dia menjadi menteri dulupun tidak boleh
selesai.

“Kita (kerajaan GRS-BN) yang bagi peruntukan RM8.2 juta untuk membina semula
rumah dan infrastruktur yang rosak dalam kebakaran sebelum ini,” katanya.
Hajiji merujuk kepada kebakaran yang memusnahkan sebahagian besar rumah
penduduk di Kampung Bangau-Bangau, Semporna pada 2015.

Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan WARISAN sebelum
ini juga menjadi punca projek pembangunan untuk rakyat termasuk di daerah ini
dibatalkan.

“Projek yang telah dilulus mereka batalkan kerana tidak setuju seperti Jalan Pantai
Papar – Lok Kawi, sudah ada kelulusan daripada kerajaan BN sebelum ini tetapi mereka
batalkan”.

“Begitu juga projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang sedang rancak dilaksanakan
tetapi tertangguh apabila WARISAN memerintah dan kesannya lambat siap berbanding
di Sarawak”.

“Semua ini kerana WARISAN, inilah yang mereka lakukan, mereka tidak tumpu kerja
untuk kesejahteraan rakyat tapi melakukan sesuatu yang luar biasa dan banyak yang
menjadi mangsa mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji menyatakan keyakinannya terhadap Armizan yang dicalonkan
GRS di kerusi Parlimen Papar untuk merampas kerusi berkenaan daripada WARISAN.
Katanya, WARISAN sudah diberi peluang mewakili Parlimen ini selama sepenggal,
namun tiada perubahan yang dibawa atau dilaksanakan sepanjang tempoh itu.

“Sekarang kita mahu wakil rakyat dari kerajaan kerana pembangkang tidak dapat bawa
apa-apa. Saya mahu Papar ini terus maju dan membangun”.

“Papar memang hebat dan hari ini ia diterjemahkan menerusi muafakat GRS-BN.
InsyaAllah, dengan kerja kuat jentera GRS-BN, calon kita di Papar ini akan menang
dengan cemerlang,” katanya.-pr/BNN