TENOM: Calon Bebas bagi kerusi Parlimen Tenom, Riduan Rubin bertekad menjadikan Tenom sebuah daerah yang berkembang maju jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu ini.
Beliau berkata, Parlimen Tenom berpotensi besar untuk menjadi daerah yang maju di Sabah dan dikenali bukan hanya dengan produk Kopi Tenom atau hasil pertanian seperti buah Pamelo Tenom.
Katanya, beliau mempunyai banyak perancangan yang akan dilaksanakan di kawasan ini dengan sebahagiannya turut digariskan dalam manifestonya agar Tenom lebih dikenali dan menjadi tumpuan pengunjung.
“Sebenarnya banyak lagi yang ada dalam perancangan saya sekiranya dipilih menjadi Ahli Parlimen yang baharu di Tenom ini.
“Semua ini adalah untuk kepentingan dan manfaat rakyat di Tenom serta kemajuan daerah ini yang kita mahu lihat supaya Tenom bukan hanya dikenali dengan Kopi Tenom dan hasil pertanian seperti pamelo.
“Malah kita mahu mengembangkan lagi potensi sedia ada dalam semua sektor termasuk pelancongan,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Bersama Komuniti Tiong Hwa Daerah Tenom, di sini, semalam.
Dalam manifestonya, Riduan antara lain menggariskan usahanya untuk membawa perubahan dalam aspek pendidikan, kemasyarakatan dan kebajikan, infrastruktur termasuk membina Jalan Melalap-Membakut, kerohanian, pembangunan belia dan sukan serta memperkasa ekonomi Tenom.
Riduan turut menjelaskan, beliau terpanggil untuk menawarkan diri menjadi Ahli Parlimen kerana merasakan calon muda seperti beliau perlu diberi peluang bagi menawarkan suara dan tenaga anak muda yang lebih segar dalam menyuarakan perubahan di kawasan Parlimen Tenom.
“Keduanya, sebagai anak jati Tenom yang hidup dalam masyarakat pelbagai etnik, budaya dan agama, saya terpanggil untuk menabur bakti dan khidmat kepada masyarakat di Parlimen ini kerana banyak lagi yang perlu dilaksanakan untuk menambah baik kualiti kehidupan masyarakat termasuk dalam sektor ekonomi yang kita tahu amat dititik beratkan oleh masyarakat Tiong Hwa dalam menjamin kehidupan yang lebih makmur dan baik pada masa depan,” katanya.
Sementara itu, beliau menyatakan harapan agar rakyat di Tenom termasuk masyarakat Cina memberikan sokongan dan mengundinya pada Sabtu ini demi merealisasikan misi melaksanakan pembaharuan di daerah ini.
Beliau turut meminta penyokongnya supaya tidak mempedulikan pihak lain yang menuduh macam-macam terhadap calon bebas sepertinya, kononnya tidak mampu membawa perubahan kerana bukan dari kerajaan atau gabungan parti yang besar.
“Percayalah, kerajaan tidak boleh mengabaikan perhatian kepada mana-mana kawasan, malah saya yakin kerajaan akan lebih mengambil berat suara rakyat di kawasan bukan diwakili mereka.
“Inilah masanya kita mahu menunjukkan bahawa rakyat mahukan perubahan dan tidak mahu lagi ditakutkan dengan ugutan tiada pembangunan jika tidak memilih calon kerajaan.
“Cukuplah kita ditipu dengan pelbagai janji mereka sebelum ini dan marilah kita sama-sama bersatu hati membangunkan daerah ini melalui suara anak muda yang mewakili semua kaum tanpa mengira latar belakang agama atau budaya.
“Saya percaya masyarakat Cina di daerah ini juga memahami aspirasi saya dan mahu melihat suara baharu di Dewan Rakyat setelah kita memberi peluang kepada wakil dari DAP pada PRU lalu,” katanya.
Riduan yang bertanding menggunakan lambang gajah berdepan saingan lima penjuru menentang penyandangnya, Noorita Sual (PH), diikuti Jamawi Jaafar (BN), Ukim Buandi (WARISAN) dan seorang lagi calon Bebas, Peggy Chaw Zhi Ting.-pr/BNN