SEPANGGAR: Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha Sakmud memuji Bajet terbesar yang dibentangkan oleh YAB Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan di sidang DUN Sabah hari Jumaat lepas.
Bajet yang menganggarkan perbelanjaan RM5.138B dengan kutipan hasil RM5.268B merupakan rekod tertinggi dan sejarah baru Kewangan Negeri dengan lebihan RM130.47 Juta.
Bajet tersebut yang bertemakan Ekonomi Perkasa Rakyat Sejahtera diharap dapat digunakan sebaik mungkin untuk manfaat rakyat. Tidak guna jika hanya Bajet besar tetapi tidak menyelesaikan isu-isu yang sering dihadapi oleh rakyat.
Beliau juga meminta agar peruntukan untuk tebatan banjir dan penyelenggaraan parit dan saliran dapat digunakan sebaik mungkin untuk meminimakan banjir kilat yang sering melanda beberapa lokasi dan kampung-kampung sekitar sepanggar.
Beliau ditemui pemberita semasa sesi lawatan ke Kg. Rampayan Ulu dan Kg. Rampayan Laut sebaik saja tiba daripada Kuala Lumpur kelmarin. Turut hadir adalah YB Azhar Hj. Matussin, ADUN Darau, Ketua-ketua kampung dan Pimpinan Cabang PKR Sepanggar yang diketuai oleh Timbalan Ketua Cabang, Sdr. Ramlan Naim.
Beliau juga menyeru agar Ahli-ahli DUN yang akan menerima peruntukan RM3 Juta untuk tahun depan agar dapat membantu usaha mengurangkan masalah yang dihadapi oleh rakyat mengikut prioriti DUN masing-masing.
Beliau juga bercadang untuk menemui agensi dan Jabatan yang berkaitan untuk mendapat maklumat terperinci tentang perancangan dan perlaksanaan mereka dalam menangani isu banjir kilat yang sering melanda kampung-kampung di sekitar Sepanggar ini.
Sebagai Ahli Parlimen yang baru di sini beliau mengharapkan kerjasama dari semua pihak agar isu-isu ini dapat diangkat ke peringkat Parlimen. Saya perlu input dan cadangan agar dapat dibawa kepada perhatian Perdana Menteri dan Kementerian yang berkenaan.
Masa untuk kita berkerja untuk rakyat dan redakan suhu politik negara.-pr/BNN