KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha Sakmud turun padang melawat beberapa kawasan yang sering dilanda banjir kilat di sekitar Kampung Rampayan Ulu,  Tobur Rampayan Laut, Manggatal.

Menurutnya, kejadian banjir ini sangat menyedihkan apabila terdapat kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Rampayan sering dilanda banjir.
“Kejadian ini sudah tentu menjejaskan proses pembelajaran pelajar SK Rampayan termasuk juga sering menjadi runggutan kalangan penduduk kampung.
“Rata-rata penduduk terpaksa membersihkan kesan lumpur akibat setiap kali kejadian banjir kilat melanda kawasan perkarangan sekolah ini,” katanya di sini hari ini.
Mustapha mengadakan lawatan pertama sejak menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berkata, beliau akan mendapatkan maklumat secara terperinci daripada jabatan serta agensi berkaitan perancangan untuk mencari jalan penyelesaian masalah banjir berkenaan.
“Masalah banjir kilat ini sudah berlarutan sejak sekian lama di kampung ini…Penyelesaian jangka masa panjang dan singkat perlu diberi keutamaan.
“Kejadian ini sudah tentu sangat menjejaskan pembelajaran anak-anak kita di kampung ini,” katanya.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Darau, Azhar Matussin.-pr/BNN