KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Pelabuhan Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu dan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) dijadikan sebagai Zon Perdagangan Bebas (Free Trade Zone)  di Sabah.
Beliau berkata, ini akan menjadi antara tarikan dan insentif kepada para pelabur dan pengusaha di negeri ini pada masa akan datang.
“Dalam dinamik kerajaan persekutuan dan Sabah pada hari ini, saya mencadangkan kepada kerajaan negeri khususnya Kementerian Pembangunan Perindustrian untuk menjadikan KKIP di Kota Kinabalu, POIC di Lahad Datu dan SOGIP di Sipitang sebagai satu kawasan Free Trade Zone.
“Ini adalah satu insentif dan tarikan baharu kepada pelabur-pelabur dan juga para pengusaha yang melabur di Sabah.
“Saya berpendapat, ini boleh dilakukan dengan komitmen kerajaan persekutuan yang ada pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mencelah dengan izin semasa ucapan penggulungan Kementerian Pembangunan Perindustrian pada persidangan dewan undangan negeri, di sini, hari ini.
Ewon turut mencadangkan supaya kementerian berkenaan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan para pengusaha produk-produk tempatan  Sabah sedia ada di Semenanjung untuk mengwujudkan Tamu Mingguan Borneo di  Johor.
“Di Semenanjung, ada Tamu Sabah, Tamu Borneo iaitu di Klang Velly dan Johor.
“Adakah pihak kementerian bersedia mengambil kepimpinan bekerjasama dengan pengusaha warga Sabah di Semenanjung dan pihak berkuasa tempatan di Klang Velly atau Johor untuk kita memasarkan produk-produk Sabah dalam konsep tamu mingguan?
“Kita sudah ada pusat ataupun galeri harian di Semenanjung tapi bagi saya orang Semenanjung pun berminat dengan konsep tamu dan ini sesuatu yang baharu.
“Saya fikir pihak kementerian boleh mempertimbangkan untuk bekerjasama dengan warga Sabah yang sudah sedia ada di Semenanjung untuk menjual produk-produk tempatan Sabah,” katanya.-pr/BNN