KOTA KINABALU: Dalam usaha berterusan bagi mempromosikan pantai Tanjung Aru sebagai destinasi rekreasi dan riadah untuk masyarakat umum, Tanjung Aru Eco Development Sdn Bhd (TAED) memperkenalkan aktiviti menunggang kuda sebagai tarikan yang terkini.
Sunset Stables mula beroperasi di 2nd Beach Tanjung Aru pada hari ini, dengan menganjurkan riadah menunggang kuda bagi seluruh peringkat umur, setiap hari bermula daripada jam 9:30pagi sehingga 6:30petang bergantung kepada keadaan cuaca.
Eksekutif Direktor TAED, Datuk Ismail Abdullah menyatakan bahawa mereka sentiasa menggalakan aktiviti-aktiviti riadah yang baharu dan menarik untuk para pengunjung bagi
menjadikan Tanjung Aru sebagai tempat yang memberi memori indah kepada para pengunjung.
“Aktiviti menunggang kuda boleh mendidik kanak-kanak dengan kemahiran yang berharga
seperti nilai tanggungjawab, nilai kesabaran dan hormat terhadap manusia dan haiwan sekali gus memberi peluang kepada kanak-kanak menimba pengalaman unik dan menyeronokkan yang hanya boleh dirasai ketika menunggang kuda,” menurut beliau.
Dalam memulakan aktiviti tarikan utama yang terbaru hari ini, Sunset Stables telah menjemput kanak-kanak daripada Seri Mengasih Centre, sebuah pusat khas pemaju intelek dan penerajuan kanak-kanak istimewa untuk menikmati pengalaman baharu, semasa upacara pelancaran pada hari ini.
“Menunggang kuda mampu membantu kanak-kanak yang mempunyai autisme untuk
meningkatkan kemahiran bahasa dan kognitif, sosial dan kemahiran motor, iaitu kemahiran asas utama yang diperlukan untuk berfungsi dalam kemasyarakatan. Sesungguhnya, terapi berkuda sangat tinggi manfaatnya untuk kanak-kanak autism” menurut Puan Tulip Noorazyze – Naib Pengerusi Seri Mengasih Centre yang turut hadir dalam upacara pelancaran rasmi hari ini.
“Ini sekaligus mampu mempromosikan aktiviti menunggang kuda sebagai hobi yang
menyeronokkan dan terbuka kepada semua pengunjung tidak kira umur, tinggi dan jantina
tambahan Datuk Ismail.
Selain aktivti menunggang kuda bertempat di papan luncur dahulu, perkhidmatan menarik yang lain turut disediakan termasuk aktiviti menunggang kuda pada waktu terbenam matahari di sepanjang pantai, sesi bergambar dan pelbagai pilihan gerai makan dan minum.
Menurut Pengurus Sunset Stables, Zambri Rahim, diskaun penyertaan kumpulan akan diberi dengan syarat terdapat 5 orang atau lebih dalam satu kumpulan penyertaan.
Aktiviti menunggang kuda akan beroperasi dalam jangka masa pendek sehingga Projek
Pembangunan Tanjung Aru Eko dimulakan. Pantai Tanjung Aru merupakan destinasi kegemaran para pengunjung tempatan dan pelancong luar negara untuk menikmati suasana matahari terbenam dan melakukan aktiviti-aktiviti riadah di tepi pantai.-pr/BNN