1. Saya amat tertarik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan mengadakan Mesyuarat Khas bersama semua Jemaah Menteri pada hari Isnin depan mengenai ketetapan baharu kepada semua Jemaah Menteri, berkaitan soal Pengurusan Kementerian, Kerjasama Penjawat Awam dan langkah-langkah penjimatan supaya tidak berbelanja lebih oleh Kerajaan.
2. Soal penjimatan perbelanjaan adalah amat penting dimana bajet setiap Kementerian dan Jabatan hendaklah diteliti dengan mendalam. Sudah menjadi kebiasaan bahawa setiap Kementerian dan Jabatan dikehendaki menghabiskan bajet tahunan pada setiap penghujung tahun untuk mengelak dari disoal siasat dan terpaksa memberi sebab kenapa bajet tidak digunakan sepenuhnya pada tahun tersebut.
3. Lazimnya, setiap Kementerian danJabatan terpaksa membelanjakan baki bajet yang telah diperuntukkan pada akhir tahun, supaya tidak dipersoalkan oleh pihak yang bertanggungjawab seperti Jabatan Audit. Justeru, hampir semua Jabatan & Kementerian yang terlibat akan membuat “Christmas Shopping” sebelum tahun berakhir. Perkara tersebut kerap berlaku kerana setiap Jabatan dan Kementerian yang terlibat ingin mengelak dari dipersoalkan tentang kecekapan mereka dalam membelanjakan peruntukan tersebut.
4. Adalah dicadangkan , setiap Kementerian dan Jabatan diberi pengiktirafan apabila dapat menjimatkan perbelanjaan setiap
tahun, dan tidak mewajibkan harus mengikut bajet tahunan yang diluluskan. Dalam keadaan dimana segala urusan dan urus tadbir pejabat tidak terjejas dan mencapai matlamat yang disasarkan, walaupun bajet masih ada baki, tidak seharusnya jabatan dan kementerian berkenaan perlu menghabiskan baki peruntukan yang ada untuk menunjukkan mereka lebih cekap dan berhemah berbelanja.
5. Dalam keadaan tertentu, peruntukan yang telah diberika gagal digunakan sepenuhnya kerana pelbagai sebab seperti terlebih anggar, masalah tender, supply yang tidak menepati jadual, dan lain-lain sebab. Mana-mana Kementerian dan Jabatan yang boleh membuat penjimatan daripada bajet tahunan hendaklah mengembalikan semula lebihan bajet yang tidak dibelanjakan kepada Kerajaan. Dalam kes demikian, Kementerian dan Jabatan tersebut harus dianggap lebih cekap dan berhemah berbelanja dan bukan sebaliknya, seperti kebiasaanya berlaku dalam Kerajaan.
6. Kerajaan juga selalu membawa usul bajet tambahan (Supplementary Budget) dalam setiap persidangan Parliamen atau Dewan Undangan Negeri. Ini menunjukkan Kerajaan menggalakkan perbelanjaan lebih dari yang dijangka. Bajet tambahan ini juga biasanya akan diluluskan dan hampir tidak pernah ditolak dalam Persidangan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, disebabkan peruntukan yang sebelumnya sudah dibelanjakan. Dalam hal ini, bajet tambahan tidak harus dibenarkan dan tidak ada pengecualian bagi memastikan penjimatan perbelanjaan pada tahun tersebut.
7. Penjimatan perbelanjaan juga boleh dilakukan dengan tidak membenarkan lagi pindahan (Virement) Vot Kepala/Sub Kepala anggaran peruntukan kepada Vot Kepala/Sub-Kepala lain. Ini dapat mengelakkan berlakunya sikap berbelanja yang tidak memenuhi syarat yang telah ditetapkan. Ukuran pencapaian perbelanjaan yang baik atau memuaskan harus diukur dari kecekapan melaksanakan program atau projek yang telah ditetapkan mengikut anggaran tahunan, melainkan dalam keadaan yang tidak dapat dielakkan. Dengan demikian, Kerajaan dapat mengawal dan membendung perbelanjaan yang tidak perlu dan mengelak jabatan-jabatan dari perlu menghabiskan peruntukan yang telah diperuntukkan. Lazim terjadi, Kementerian dan Jabatan mengambil peluang berbelanja melalui cara “virement”
8. Saranan Perdana Menteri YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya budaya lama dimana perolehan Kerajaan tanpa tender, termasuk rundingan terus atau “selective tender” diberhentikan, akan memperkukuhkan lagi penjimatan kewangan Kerajaan.
9. Kita berharap ini mampu dilaksanakan di semua peringkat Kerajaan bermula daripada Kementerian, Jabatan Persekutuan sehinggalah ke peringkat daerah.
(Datuk Sylvester Entri Muran)
Mantan Menteri Muda dan ADUN Marudi