KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mahu
semua program atau projek kerajaan yang dilaksanakan di peringkat daerah sama ada
melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) atau
kementerian lain, perlu disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

Dalam hal ini katanya, kerjasama semua terutama sekali mayor (Datuk Bandar), pegawai daerah, presiden majlis perbandaran dan pegawai kanan kerajaan perlu
mempertingkatkan lagi tahap kerja serta usaha agar program dan projek kerajaan
yang diluluskan di daerah masing-masing dapat dilaksanakan sepenuhnya.

“Saya berasa sedih apabila menerima laporan berkaitan pelaksanaan program dan
projek pembangunan pada tahun ini. Kita sudah bagi peruntukan dan projek diluluskan
tetapi laporan pelaksanaan projek tidak memberangsangkan. Ada yang hanya 60
peratus saja (siap) pada tahun ini, sama seperti tahun lalu juga (60 peratus).

“Rakyat mengharapkan kita melaksanakan program dan projek ini tetapi malangnya
tidak siap dilaksanakan. Kerajaan memberi perhatian serius perkara ini dan saya
menerima maklumat daripada Kementerian Kewangan bahawa prestasi pelaksanaan
projek tidak memberangsangkan pada tahun ini.

“Justeru, saya mahu semua pihak yang berkaitan memberi perhatian sepenuhnya
termasuk untuk memantau semua program dan projek yang dilaksanakan kerajaan. Jika projek untuk rakyat tidak dapat dilaksanakan, rakyat akan rugi dan marah kepada
kerajaan termasuk saya sebagai Ketua Menteri,” katanya ketika merasmikan Program
Jalinan Strategik SEDIA dengan Pentadbiran Daerah di Menara Kinabalu, di sini pada
Khamis.

Sambil mengakui peranan pegawai daerah penting, namun Hajiji yang juga Pengerusi
SEDIA turut mengingatkan mereka agar tidak ‘memandai-mandai’.

“Kita akui peranan pegawai daerah penting, tapi jangan memandai-mandai. Saya akan
memantau prestasi pegawai daerah. Saya juga terima laporan ada yang pandai dan
ada juga yang ‘memandai-mandai’. Saya juga menerima laporan daripada orang ramai
dari kawasan masing-masing.

“Selaku Ketua Menteri, saya ingin tegaskan bahawa saya akan menjadi lebih keras (i
am going to be tough) dengan semua pegawai daerah. Jangan marah saya sebab
macam-macam laporan yang kita terima. Jadi, sekiranya laporan yang diterima ini
benar atau betul, saya tegaskan di sini saya tidak akan teragak-agak untuk ambil
tindakan,” katanya.

Beliau juga mahu semua pegawai kerajaan termasuk pegawai daerah akan
mempercepatkan semua permohonan pelaburan tempatan dan asing ke negeri ini
sejajar dengan pendekatan mesra pelabur yang diamalkan oleh kerajaan negeri.

“Pelabur datang untuk membawa peluang pekerjaan kepada rakyat kita, justeru jangan
melambatkan kelulusan. Ini juga akan membantutkan usaha kerajaan membawa
pembangunan ke negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata banyak iktibar yang perlu diambil perhatian berat oleh
semua pihak, termasuk SEDIA bagi memulihkan semula ekonomi selepas pandemik
COVID-19.

“Salah satu ialah sekuriti makanan atau keterjaminan makanan dan keterjaminan ubat- ubatan dan kapasiti kesihatan awam. Justeru, kerajaan negeri komited untuk
memastikan keterjaminan makanan di negeri ini. Bagi tujuan itu, kerajaan negeri akan
terus memacu sektor pertanian dengan memperkasakan 4 subsektor iaitu tanaman;
ternakan; perikanan dan akuakultur; serta komoditi getah.

“Pada tahun 2023, Kerajaan Negeri mengagihkan sejumlah RM501.54 juta kepada
Kementerian Pertanian dan Perikanan serta jabatan-jabatan di bawahnya. Daripada
jumlah tersebut, sebanyak RM69.2 juta diagihkan untuk tujuan operasi dan membiayai
pelbagai program bantuan kepada para petani, nelayan dan penternak,” katanya.

Beliau berkata, SEDIA mempunyai hubungan kerjasama yang erat dan kukuh dengan
agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam melaksanakan program- program dan projek-projek pembangunan yang mampu meningkatkan kepesatan aktiviti ekonomi, terutamanya di kawasan luar bandar.

“Oleh itu, marilah kita bersama-sama secara progresif untuk terus melangkah ke
hadapan, kerana semua yang kita lakukan ini adalah untuk rakyat dan negeri ini. Kita
telah melihat betapa banyak yang boleh dicapai demi meningkatkan ekonomi negeri
Sabah,” katanya.-pr/BNN