KOTA KINABALU: Negeri Sabah, melalui syarikat milik penuhnya SMJ Sdn Bhd (SMJSB), dan PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) telah menandatangani Perjanjian Dasar Induk (Heads of Agreement) bagi pengambilalihan 25% kepentingan ekuiti dalam PETRONAS Chemicals Fertiliser Sabah Sdn Bhd (PC FSSB).
Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif SMJSB, Dr. Dionysia Aloysius
Kibat dan juga Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir. Mohd Yusri Mohamed
Yusof dengan kehadiran Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Menteri Kerajaan Tempatan &
Perumahan Sabah merangkap Menteri Kewangan ll dan Naib Presiden Kanan, Pelaksanaan
Projek & Teknologi PETRONAS, Datuk Haji Bacho Pilong.
“Pengambilalihan kepentingan ekuiti dalam PC FSSB akan membuahkan perkongsian
keuntungan yang lebih besar kepada Negeri Sabah dalam industri minyak dan gas di Sabah.
Ini merupakan tambahan kepada pengambilalihan aset saluran paip gas hiliran terpilih dan
kontrak pembekalan gas asli oleh Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) baru-baru ini,
yang menjadikan SEC pembekal domestik dan pengangkut gas asli terbesar di Sabah.
Pengambilalihan ini menandakan peningkatan penyertaan GLC negeri Sabah dalam industri
minyak dan gas,” kata Dr. Dionysia Aloysius Kibat.
Ir. Mohd Yusri berkata, “Pelupusan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha strategik PCG untuk meletakkan dirinya sebagai rakan pilihan dalam membentuk dan menyampaikan aspirasi PCG untuk mengekalkan dan memperkembangkan perniagaan petrokimia di Sabah.
“Kami menghargai peluang ini untuk terus menyumbang kepada pembangunan Sabah. Kami mengalu-alukan SMJ sebagai rakan kongsi strategik kami, di mana mereka akan memainkan peranan yang penting dalam pertumbuhan PC FSSB di samping memberikan nilai tambahan kepada sumber gas negeri.”
PC FSSB, anak syarikat milik penuh PCG, ditubuhkan pada tahun 2011 untuk membina,
memiliki dan mengendalikan kompleks pengeluaran ammonia dan urea bersepadu di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) di daerah perbandaran Sipitang, Sabah.
Ia dianggarkan 150 kilometer ke arah selatan Kota Kinabalu dan 20 kilometer ke selatan
Sipitang. PC FSSB mempunyai fasiliti pengeluaran ammonia dan urea berskala dunia dan
direka untuk menghasilkan ammonia dan urea sebanyak 1.9 juta tan metrik setahun. Ia
merupakan loji ammonia dan urea “single train” terbesar di Asia Tenggara, dan loji urea ketiga terbesar di Asia Pasifik. Ia merangkumi tanah seluas 211 ekar di SOGIP, berhampiran dengan pasaran pertumbuhan utama di Asia Pasifik.
PC FSSB merupakan pemangkin utama dalam pembangunan industri minyak dan gas di
Sabah melalui SOGIP. Ia merupakan loji baja pertama dan loji petrokimia bertaraf dunia
pertama yang dibina di Sabah. Urea digunakan secara langsung sebagai baja atau bahan
mentah untuk penghasilan resin dalam papan lapis dan pelekat, serta bahan kimia lain.
Ammonia digunakan terutamanya sebagai bahan mentah untuk urea, atau kegunaan industri seperti pembersih alkali dan gas penyejuk.-pr/BNN