KOTA KINABALU : Parti Amanah Negara (AMANAH) Sabah menyambut baik pembentukan Kabinet Kerajaan Negeri Sabah yang diumumkan hari ini selain menyifatkan ianya akan dapat membentuk satu pentadbiran inklusif.
Pengerusi AMANAH Sabah Lahirul Latigu berkata, ini termasuklah pelantikan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pakatan Harapan (PH) sebagai menteri Kabinet dibawah pentadbiran Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
“Pelantikan dua wakil ADUN PH menjadi sebahagian dari Kabinet Sabah membuktikan bahawa Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sentiasa bersifat terbuka untuk membentuk sebuah pasukan yang kukuh untuk mentadbir Sabah.
“Inilah semangat yang perlu ditunjukkan kepada rakyat Sabah bahawa kerjasama erat diantara pemimpin itu perlu dieratkan untuk terus membangunkan negeri Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dua ADUN PH yang dilantik membarisi Kabinet Sabah ialah ADUN Api-Api Datuk Christina Liew dan ADUN Luyang Ginger Phoong Jin Zhe.
Mereka masing-masing dilantik sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar dan Menteri Pembangunan Perindustrian.
Kedua-dua mereka mengangkat Sumpah Ahli Jemaah Menteri Negeri di Istana Seri Kinabalu pagi tadi.
Majlis Angkat Sumpah Jawatan dibuat di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Dewan Kunjungan Istana Seri Kinabalu, di sini.
Lahirul turut berharap agar wakil PH Sabah dalam Kabinet Sabah dapat melaksanakan tugas dengan sebaiknya untuk rakyat negeri ini.
“Sudah tentu kita berharap agar wakil PH dalam Kabinet Sabah dapat melaksanakan tugas dengan baik dan amanah untuk rakyat negeri ini.
“Kita juga berharap agar wakil PH dapat lagi ditambah dalam pentadbiran Sabah untuk sama-sama Ketua Menteri membangunkan negeri ini selain membawa pembangunan untuk rakyat,” katanya.-pr/BNN