TUARAN: Aktiviti sukan bukan saja mampu menjadi medan untuk membentuk dan
meningkatkan kerjasama serta perpaduan dalam kalangan rakyat, malah berupaya
dijadikan satu amalan dan gaya hidup sihat.
Sehubungan itu Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag
mahu Kejohanan Bola Jaring Terbuka ini akan diteruskan dari semasa ke semasa agar
dapat melahirkan masyarakat yang cergas, aktif dan produktif dengan nilai-nilai murni
untuk menghadapi cabaran di masa depan.
“Di sampuing itu, aktiviti sukan juga dapat mengekalkan kesihatan fizikal dan membina
kekuatan mental seperti mengawal emosi, fokus, dan membina semangat berpasukan.
“Saya berharap penganjuran kejohanan ini bukan sahaja dapat membantu
mempopularkan sukan bola jaring, malah sebagai platform untuk mencari dan mengenal
atlit pelapis dalam sukan itu di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Kejohanan Bola Jaring
Terbuka Piala Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag di Dewan Sri Sulaman, di
sini pada Ahad.
Juliah berkata, secara peribadi beliau amat menyokong penganjuran program dan
aktiviti berorientasikan sukan seperti bola jaring kerana ia dapat membentuk dan
meningkatkan semangat kerjasama berpasukan dan perpaduan dalam kalangan rakyat
pelbagai kaum, bangsa dan agama di negara ini, khususnya di Sabah.-pr/BNN