BANDAR SERI BEGAWAN: Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) memuji komitmen dan ketegasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan “tugas pemimpin itu “merawat” dan bukan untuk menambah “luka””.
Pengerusinya, Datuk Mohd Nazri Abdullah berkata, kenyataan PM itu jelas membuktikan beliau komited membantu mendekatkan jurang pembangunan di Sabah dan Sarawak yang masih ketinggalan berbanding Semenanjung Malaysia.
Menurutnya, lebih mengembirakan Rakyat Sabah dan Sarawak ialah pendirian dan kesungguhan Anwar dan Kerajaan Perpaduan Rakyat untuk menepati dan menunaikan setiap perjanjian yang dimeterai bersama Sabah dan Sarawak termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Ini adalah jaminan yang ditunggu-tunggu oleh setiap rakyat Sabah dan Sarawak. Negara memerlukan PM seperti Anwar untuk terus menakhoda Malaysia menuju negara gemilang dan Madani”.
“Jelas bahawa PM mahu para pemimpin bertindak untuk merawat apa juga masalah rakyat dan negara, sebaliknya bukan menambah luka mereka.
Mohd Nazri bercakap kepada Media Malaysia selepas hadir dalam satu majlis bersama Perdana Menteri di Brunei.
“Sudah tentu beliau turut merujuk perkara ini dalam soal pengurusan dan kepimpinan organisasi dan agensi kerajaan dan GLC yang berkhidmat kepada rakyat”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Nazri mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa mengadakan lawatan kerja sulungnya ke Sarawak selama dua hari baru-baru ini, sejak dilantik ke jawatan itu pada November lepas.
Katanya, Kerajaan Persekutuan berpendirian setiap perjanjian yang dimeterai bersama Sabah dan Sarawak termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) harus ditepati serta ditunaikan.
Anwar berkata selaku pemimpin nombor satu negara ketika ini, beliau bertanggungjawab memastikan perkara itu diteruskan dan mengakui sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pelbagai usaha telah dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan untuk mengembalikan hak itu termasuk meminda Perlembagaan Persekutuan.
“Kita perlu cuba selesaikan (isu MA63) secara bersungguh-sungguh dan bukan sekadar menjanjikan slogan politik untuk dapat sokongan daripada Sarawak atau GPS (Gabungan Parti Sarawak).
“Apabila kita lihat keadaan pembangunan di Sabah dan Sarawak terutama di kawasan pedalaman, saya tidak boleh nafikan ada tugas yang belum kita sempurnakan dengan baik,” katanya ketika berucap pada majlis jamuan negeri di Kuching, baru-baru ini.
Beliau juga berkata Malaysia merupakan sebuah negara persekutuan dan semangat perpaduan tidak akan dapat diperoleh sekiranya ada perasaan rakyat yang tergores
“Tugas pemimpin itu merawat dan bukan untuk menambah luka, sebab itu saya lihat usaha ini sebagai menunaikan satu tanggungjawab.
“Saya terasa ketika mendengar keluhan Sarawak dan Sabah atau golongan minoriti yang merasakan mereka tidak berada dalam arus perdana pembangunan negara. Ini tidak wajar, maka harus kita rawat (situasi ini),” katanya.l
Mohd.Nazri berkata, adalah jelas PM mahu pemimpin Kerajaan termasuk Ketua Jabatan dan agensi kerajaan membantu merawat dan bukan menambah luka rakyat atau sesebuah organisasi.
“Jabatan, agensi kerajaan, organisasi dan GLC yang sakit hendaklah dirawat oleh pemimpin yang dilantik, sebaliknya bukan bertindak sesuka hati sehingga menyebabkan masalah yang dihadapi bertambah parah dan sukar diselamatkan”, tegasnya.pr/BNN