KENINGAU: Seramai 291 kanak-kanak TABIKA KEMAS di DUN Sook, Tulid dan Nabawan diraikan bersempena Majlis Apresiasi TABIKA KEMAS Parlimen Pensiangan yang memberi
pengiktirafan prestasi cemerlang kepada anak-anak kecil dalam bidang akademik dan aktiviti kokurikulum sepanjang tahun 2022.
Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyifatkan anak-anak di TABIKA KEMAS sebagai aset negara yang paling bernilai dan bakal menjadi pewaris yang boleh memacu negara ke tahap yang lebih baik dari sekarang.
“Teruskanlah kecemerlangan itu sampai bila-bila kerana hakikatnya kita sedang menghadapi pelbagai cabaran baru yang menuntut kita supaya sentiasa meneroka ilmu terkini, melakukan inovasi dan berusaha untuk melangkaui sempadan kecemerlangan.” kata beliau ketika menyempurnakan majlis.
Dalam pada itu, Datuk Arthur yang juga Ahli Parlimen P.182 Pensiangan menyeru agar institusi Pendidikan awal kanak-kanak seperti TABIKA KEMAS ini akan turut serta dalam membantu menyuburkan minat anak- anak kecil terhadap Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).
Usaha ini bagi menyokong Hasrat Negara yang meletakkan sasaran untuk berada dalam kalangan 20 negara teratas di dunia dalam bidang ekonomi, kesejahteraan rakyat dan kreativiti serta inovasi menjelang 2050.
Mengulas lanjut, beliau berkata untuk menuju ke arah itu, kita memerlukan perubahan besar, kesediaan dan pembangunan modal insan, perbelanjaan, pembudayaan serta berjiwa besar. Antara cara mencapai matlamat itu adalah dengan memupuk minat terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) sejak di peringkat sekolah
lagi.
Arthur turut menyeru kepada para ibu bapa agar bersama-sama berganding bahu dan bekerjasama dengan pihak sekolah dalam menjalankan apa sahaja aktiviti yang berkaitan. Tanpa kerjasama dan sokongan daripada pelbagai pihak terutama ibu bapa serta penjaga, sudah pasti setiap perancangan akan menemui jalan buntu.
“Sebagai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia dan juga Ahli Parlimen yang berasal dari kawasan Pedalaman Sabah, kita dalam perancangan untuk membawa program-program yang berteraskan Sains, Teknologi dan Inovasi bagi memupuk dan menyemarakkan lagi minat masyarakat terutamanya kanak-kanak. Saya ingin melihat anak- anak kita terus maju ke hadapan dan mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi.” katanya lagi.-pr/BNN