KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berharap
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah yang berjaya memugut hasil
sebanyak RM 2,098,625,366.45 bagi tahun 2022, dapat dipertingkatkan lagi pada tahun
2023.

Katanya, peranan JKDM amat penting dalam pembangunan negara kerana kesemua
hasil yang dikutip itu akan disalurkan untuk menjana projek-projek pembangunan dan
kesejahteraan rakyat.

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada warga JKDM Zon Sabah di atas
kejayaan memungut hasil bagi tahun 2022. Saya berharap agar jumlah hasil pungutan
ini dapat dipertingkatkan lagi bagi tahun 2023 ini.”

“Walaupun tahun 2023 merupakan tahun mencabar untuk penjawat awam terutamanya
dari segi ekonomi. Sebagai pemungut hasil utama negara sudah pasti JKDM akan
menempuh pelbagai rintangan dan cabaran ini”, katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Makan Malam Amal anjuran Persatuan Pegawai
Kanan Kastam Sabah di Grand Ballroom Shangrila Tanjung Aru Resort, hari ini. Teks
ucapan Hajiji dibacakan oleh Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Panglima Haji
Masidi Manjun.

Hajiji percaya, selagi warga kastam terus bekerja dengan etika perkhidmatan jabatan
iaitu Amanah, Berkhidmat, Ikhlas, Dedikasi (ABID) lebih banyak hasil dapat dikutip
kerana slogan ABID juga dapat membantu meningkatkan prestasi dan keunggulan imej
JKDM.

Katanya, JKDM layak digelar Wiran Ekonomi Negara atas komitmen dalam
meningkatkan ekonomi negara, selain telah memainkan peranan yang penting dalam
menyediakan fasilitasi dan kemudahan dalam menggiatkan pelabur luar terutama ke
negeri Sabah.

Menurutnya, ekonomi gelap (black economy) yang wujud daripada aktiviti penyeludupan
yang berleluasa daripada sumber yang menyalahi undang-undang sebuah negara perlu
dihapuskan serta merta kerana ia memberi Impak yang negatif kepada negara.

 

Beliau berkata, pihak Kastam harus sentiasa waspada dan bersiap sedia dalam usaha
menghapuskan aktiviti penyeludupan dalam era dunia tanpa sempadan, yang
menggunakan bantuan teknologi komunikasi dan maklumat terkini yang semakin
canggih.

“Justeru usaha harus dilipatgandakan bagi membanteras setiap bentuk kegiatan
penyeludupan di negeri ini. Saya percaya Kastam mempunyai kekuatan yang cukup dari
segi tenaga manusia, logistik dan sistem bagi menangani aktiviti penyeludupan di negeri
ini. Adalah menjadi tanggungjawab Jabatan ini untuk memastikan supaya hasil negara
tidak jatuh ke tangan yang tidak berhak”, tegasnya.

Hajiji berharap warga JKDM mengamalkan Integriti yang kukuh dan utuh dalam
melaksanakan tugas dan menolak budaya rasuah agar tidak menjadi amalan di negara
ini.

Tanpa Integriti yang kukuh dan utuh, sudah pasti sesebuah negara itu akan musnah.
Beliau juga berharap berharap warga JKDM terus berganding bahu dan berusaha keras
untuk membantu negara memacu semula pertumbuhan ekonomi ke suatu tahap yang
lebih baik.-pr/BNN