KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan, terutamanya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) diminta untuk mempertimbangkan cadangan untuk menukarkan status pinjaman kepada geran bagi biayaan Persekutuan di taman-taman perindustrian di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) Sabah.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryandy Bandy yang menyuarakan ini mengesyorkan agar bermula pada Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), semua peruntukan Persekutuan diberi secara geran kepada taman-taman perindustrian di Sabah.
“Keduanya, pinjaman sedia ada di taman-taman perindustrian di Sabah sehingga Rolling Plan Ke-3 (RP3) RMK12 dengan nilai keseluruhan pinjaman berjumlah RM273,519,585.97 ditukar kepada geran,” katanya.
Jelasnya, ia merangkumi pecahan berikut :
• KKIP Sdn. Bhd. – RM261,849,585.97
• POIC Sdn. Bhd – RM11,670,000.00
Menurut beliau, cadangan ini dibuat atas beberapa justifikasi iaitu pertamanya, Sabah mendapat jumlah nilai pelaburan yang besar dan ini menjana pembangunan ekonomi serta meningkatkan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri dan secara langsung meningkatkan pendapatan negara dan nilai KDNK Malaysia.
“Misalnya, Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) menyumbang sebanyak RM315 juta setahun kepada nilai KDNK Malaysia dan membayar kira- kira RM 75 juta setahun untuk kutipan Cukai Korporat kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Untuk tempoh tiga tahun iaitu dari tahun 2019 hingga 2021, katanya, sektor perindustrian ini merupakan di antara penyumbang kepada KDNK Sabah dengan nilai pada tahun :
• 2019, RM 6.5 bilion ataupun 7.6 % KDNK
• 2020, RM 6.0 bilion ataupun 7.8 % KDNK
• 2021, RM 5.9 bilion ataupun 7.5 % KDNK
“Keduanya, taman-taman perindustrian di Sabah telah mewujudkan peluang pekerjaan dan mampu menjana pelaburan berskala besar.
“Pada ketika ini, KKIP telah berjaya menarik 300 syarikat perkilangan untuk beroperasi dengan nilai pelaburan berjumlah RM 10.5 bilion dan telah membuka sebanyak 18,031 peluang pekerjaan.
“Manakala, POIC Lahad Datu pula telah berjaya menarik 35 buah syarikat perkilangan untuk beroperasi dengan nilai pelaburan berjumlah RM 3.5 bilion dan telah membuka sebanyak 2,186 peluang pekerjaan.
“Selain itu, Sipitang Oil And Gas Industrial Park (SOGIP) telah mebawa masuk syarikat Petronas untuk menjalankan operasi dengan nilai pelaburan berjumlah RM 6.73 billion dan telah membuka sebanyak 450 peluang pekerjaan.
“Secara keseluruhannya, nilai pelaburan ketiga-tiga taman perindustrian ini adalah berjumlah RM 20.73 bilion.
“Justeru itu, melihat kepada perkembangan positif angka-angka ini, saya percaya penukaran status pinjaman ini kepada geran akan akan membantu perindustrian di Sabah untuk lebih maju dan berdaya saing dalam memfokuskan kepada tarikan kepada para pelabur,” ujarnya.
Ketiganya kata Andi, Kerajaan Persekutuan sewajarnya memperuntukkan geran untuk melaksanakan infrastruktur asas di kawasan taman-taman perindustrian di Sabah sepertimana juga di negeri-negeri lain dalam Malaysia dan tidak membeza-bezakannya memandangkan kesemua kawasan taman perindustrian yang wujud di dalam negara ini berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Untuk makluman pihak kementerian, Kerajaan Negeri Sabah melalui MIDE telah mengemukakan Kertas Cadangan bagi Permohonan Penukaran Status Pinjaman Kepada Geran bagi Biayaan Persekutuan di taman-taman perindustrian negeri Sabah yang telah dibentangkan secara atas talian dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sosioekonomi (JKSE) Bil. 2 Tahun 2022 pada 1 September 2022 dan seterusnya diangkat ke Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) Kali Ke-5 pada 8 September 2022 yang lalu,” katanya semasa membahas peringkat jawatankuasa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Terdahulu, Andi yang juga Pembantu Menteri MIDE berkata, di bawah MIDE terdapat tiga buah taman perindustrian yang berada di bawah bidang kuasanya iaitu KKIP, POIC Lahad Datu dan SOGIP.
Namun katanya, terdapat beberapa isu yang menghalang perkembangan pembangunan ini apabila ianya dilaksanakan menerusi pinjaman peruntukan persekutuan dan antara masalah tersebut adalah kekangan untuk membangunkan infrastruktur asas di kawasan taman-taman perindustrian di Sabah; dan terpaksa menanggung bebanan hutang yang tinggi hingga menjejaskan usaha proaktif untuk melaksanakan projek berimpak tinggi di dalam memacu pertumbuhan ekonomi Sabah.
“Saya mempunyai keyakinan penuh bahawa sekiranya bebanan hutang sedia ada ini digantikan dengan geran daripada peruntukan persekutuan, sudah pasti ianya merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri Sabah yang lebih komprehensif selari dengan matlamat Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Diharapkan pertimbangan yang sewajarnya akan dibuat oleh pihak kementerian,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu. -pr/BNN