KOTA MARUDU: Rakyat terutamanya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Matunggong diseru untuk terus mengeratkan hubungan persaudaraan dan memupuk semangat toleransi dalam komuniti.
“Sebagai tetangga dekat, kita mesti mengamalkan sikap baik, bertimbangrasa dan bertoleransi antara satu dengan yang lain,” kata Pembantu Menteri Kewangan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Matunggong, Datuk Julita Majungki pada majlis berbuka puasa bersama penduduk di Kampung Tamisan, di sini, Rabu lalu (29 Mac).
Beliau juga menggalakkan semua penduduk untuk bekerjasama demi kebaikan dan kesejahteraan kampung.
“Jika ada masalah kampung, bawalah permasalahan itu kepada pemimpin melalui saluran tertentu seperti Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Pejabat Daerah dan Pejabat Perhubungan ADUN,” ujarnya, sambil mengucapkan tahniah kepada kepimpinan Kampung Tamisan atas kejayaan menganjurkan majlis tersebut.
Julita turut melawat Balai Raya Kg Tamisan yang digunapakai untuk Tabika Kemas dan juga jambatan kampung yang perlu dibaiki dan ditambahbaik.-pr/BNN