KENINGAU: Seramai 18 ahli majlis yang baru dilantik mempunyai latarbelakang yang berbeza akan membawa ilmu pengetahuan dan pengalaman mereka untuk memajukan Daerah Tambunan dan memantapkan pengurusan Majlis Daerah.
“Tambunan merupakan salah satu daerah yang sedang membangun dan mempunyai potensi-potensi khususnya dalam bidang pertanian dan pelancongan.”
Ahli Dewan Undangan Negeri N.39 Tambunan Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan berkata demikian dalam sidang akhbar selepas acara serentak Majlis Angkat Sumpah Ahli-ahli Majlis Sesi 2023 – 2025, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kakitangan Majlis Daerah Tambunan tahun 2022, dan Majlis Berbuka Puasa Majlis Daerah Tambunan, di Hotel Perkasa, Keningau, hari ini.
Kitingan berharap, dalam dua tahun ini mereka akan menjalankan tugas dengan baik, menunjukkan hasil, dan meningkatkan pungutan hasil demi pelaksanaan program-program pembangunan di Daerah Tambunan.
Katanya Tambunan bergantung kepada tamu-tamu sebagai tempat pemasaran pelbagai produk. Infrastruktur perlu dinaiktaraf untuk kemudahan mengeluarkan produk-produk dan menghubungkan para pelancong ke tempat-tempat pelancongan.
Terlebih dahulu Kitingan berkata dalam ucapannya, terdapat tiga kategori kerajaan di Malaysia iaitu Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan. Walaupun Kerajaan Tempatan di peringkat ketiga, ia mempunyai kuasa dan peranan yang paling dekat dengan rakyat di akar umbi.
Sebab itu katanya, para ahli majlis bukan setakat menghadiri mesyuarat tetapi memainkan peranan sebagai ahli-ahli majlis ibarat ahli-ahli kabinet di peringkat akar umbi Kerajaan Tempatan.
“Maka itu kita mempunyai kuasa untuk menggubal dasar dan undang-undang di peringkat itu, dan menjalankan pembangunan di kawasan-kawasan terutama di kawasan perbandaran daerah.”
Kitingan menggesa kerjasama dari semua pihak untuk mencapai matlamat di peringkat akar umbi dan Kerajaan Tempatan.
“Saya ingin melihat perubahan di peringkat Majlis Daerah.”ujarnya.
Salah satu perubahan yang beliau ingin lihat ialah perubahan secara nyata dengan memberi bayangan pelbagai jenis bambu ditanam di sepanjang jalan bermula dari Sunsuron sebagai promosi Tambunan Daerah Bambu dan Pelancongan, lorong pejalan kaki yang cukup lebar di tepi jalanraya, pembinaan kawasan-kawasan riadah, landskap dan pondok-pondok di kawasan-kawasan pelancongan misalnya di tepi sungai Ulu Sunsuron dekat Gunung Wakid dan Bukit Tukad Simurambi 4000 anak tangga.
“Kita harus lihat ia sebagai satu ‘anchor’untuk memajukan pelancongan dan pembangunan di Tambunan.” katanya.
Kitingan juga menggesa supaya undang-undang yang telah dibuat diperkasakan yang mana antaranya ialah kawalan kerbau sapi khususnya najis binatang di atas jalanraya.
Sementara itu pusat Seni Budaya Tambunan sedang dalam pelaksanaan dan lokasi telahpun dikenalpasti.
Beliau menyokong kenyataan Pengerusi Majlis Daerah, bahawa Majlis Daerah Tambunan adalah antara yang terbaik dalam pengurusan kewangan. “Saya harap ia akan dikekalkan dan ditambahbaik di masa-masa yang akan datang.”ujarnya.
Selain itu Kitingan berkata kemungkinan suatu hari nanti Majlis Daerah akan memainkan peranan penting berkaitan ‘kesihatan awam’ (Public Health), sebagaimana Majlis Daerah telah memainkan peranan semasa pendamik Covid-19 sebagai ‘spokesman’ tentang kesihatan awam.
Turut hadir Pembantu Menteri I Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah Datuk Isnin Bin Aliasnih @ Liasnih; Pegawai Daerah Tambunan merangkap Pengerusi Majlis Daerah Tambunan, Sabitun Makajil; dan Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Tambunan, Rizal Maulah; Ahli-ahli Majlis Daerah Tambunan.-pr/BNN