KUDAT: Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Matunggong mengalu-alukan pelancaran Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor pada Mac lalu yang menunaikan impian untuk mewujudkan sepenuhnya formula tempatan bagi parti-parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Sabah.
Setiausaha Agung PBS merangkap Ketua Bahagian PBS Matunggong, Datuk Julita Majungki berkata, sungguhpun demikian, pergolakan politik yang berlaku pada awal tahun ini telah mengubah sedikit sebanyak landskap politik kerjasama di negeri Sabah.
“Kerjasama yang terwujud tidak semestinya sesuatu yang ideal tetapi ia adalah pilihan terbaik. Ikatan yang mengikat kerjasama ini adalah nilai dan prinsip yang serupa yakni untuk melihat kestabilan politik dan memelihara kebajikan rakyat secara menyeluruh.
“Oleh kerana bentuk kerjasama ini agak kompleks maka kita menjangka ada banyak bentuk toleransi yang perlu kita depani sambil memastikan agar kepentingan kita tidak terjejas,” katanya dalam ucapan dasarnya pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-38 di Dewan Mini KDCA Matunggong, Matunggong, di sini pada Sabtu.
Julita berkata, PBS ingin melihat formula kerjasama politik yang adil, telus, jujur dan setiakawan.
“Nilai-nilai ini amat penting untuk suburkan kerjasama yang utuh. Kita telah melalui perjalanan politik yang agak panjang. Pelbagai pengalaman termasuk menjadi kerajaan sendiri.
“Dalam tempoh sepuluh tahun kebelakangan ini, kita melihat perubahan yang ketara dalam pembentukan sesuatu kerajaan. Kita terpaksa akur bahawa rakyat khususnya pengundi kini sudah faham mengenai kesan dan akibat politik dominan dalam pentadbiran sesuatu kerajaan.
“Sebagai sebuah parti politik yang matang, PBS berusaha untuk memastikan agar kita dapat memainkan peranan dalam menyokong usaha kerjasama politik seimbang. Bentuk kerjasama seperti ini amat sesuai dengan struktur masyarakat berbilang kaum di negeri ini. Kita yakin GRS dapat menyediakan platfrom terbaik untuk kerjasama seimbang yang dimaksudkan. Seterusnya, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan kerjasama ini dipupuk, dihormati dan dijaga demi kemakmuran dan sejahtera kita bersama,” ujarnya.
Tambahnya, parti-parti politik gila kuasa dan tidak memahami aspirasi rakyat Sabah harus ditolak ke tepi, termasuklah parti yang hanya mencari peluang dan tidak bermaruah.
“Prinsip dan integriti tidak ada dalam kamus mereka. Pemimpin dan parti sebegini wujud untuk kumpulan atau pengikut sendiri sahaja. Mereka tidak berpandangan jauh apatah lagi untuk melindungi hak dan negeri Sabah.
Sementara itu, Julita menyeru semua terutamanya ahli PBS Matunggong untuk mengambil sikap dan pendirian untuk kekal bersemangat meskipun dikejutkan dengan kekalahan teruk di Parlimen Kota Marudu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
“Kita harus mengambil sikap dan pendirian untuk kekal bersemangat. Tidak ada pasukan atau individu yang ingin mengalami kekalahan bila masuk ke dalam gelanggang pertempuran. Namun kita perlu menerima hakikat bahawa kalah dan menang itu adalah adat dalam pertandingan. Tugas kita adalah untuk bangkit dan kekal bersemangat menanti pertempuran baru yang bakal kita hadapi pada masa akan datang,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong itu juga menyatakan komitmennya untuk bekerja keras mencapai sebaik mungkin perancangan yang telah beliau gariskan.
“Cabaran dan masalah memang banyak tetapi ini adalah perkara biasa. Kita teruskan usaha. Saya menjangka, ada beberapa jalan di kawasan Parlimen P.168 Kota Marudu yang bakal dilaksanakan dalam penggal ini. Semua itu adalah usaha yang telah ditabur oleh PBS. Sehingga kini, kita belum berhenti untuk menyusuli perkara tersebut dengan kapasiti yang ada.
“Marilah kita kuatkan semangat dan kekalkan usaha serta momentum kerja bersama rakyat. PBS masih pilihan terbaik rakyat Matunggong yang sudah terbukti track record nya selama ini,” kata Julita yang juga Pembantu Menteri Kewangan. -pr/BNN