PENAMPANG: Kemuncak sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri kali ini mencatat
sejarah tersendiri apabila turut dihadiri pemimpin nombor satu negara, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata kehadiran Perdana
Menteri untuk meraikan penutupan sambutan perayaan Pesta Kaamatan sesungguhnya
melahirkan rasa bangga dan teruja kepada rakyat Sabah khususnya dari suku kaum
Kadazandusun Murut Rungus (KDMR).
“Kaamatan, adalah perayaan yang berjaya mengangkat martabat budaya dan adat resam suku kaum Kadazan Dusun Murut dan Rungus di Sabah, dan kami bangga dengannya kerana Sabah turut dikenali dunia dengan penganjuran acara Kaamatan ini.
“Justeru, rakyat Sabah khususnya dari suku kaum Kadazan Dusun Murut dan Rungus (KDMR), tentu sekali turut berasa bangga dan teruja dengan kehadiran Perdana Menteri pada hari ini.
“Ini adalah satu lagi detik bersejarah dalam siri sambutan perayaan Pesta Kaamatan
Peringkat Negeri. Sesungguhnya, bukan mudah untuk kita mendapat peluang sebegini
rupa, pemimpin nombor satu negara yang sentiasa sibuk dengan jadual yang sangat
padat, hadir bersama-sama kita di dalam dewan KDCA yang terkenal ini,” katanya yang
turut disambut dengan tepukan gemuruh.
Beliau berkata demikian sempena majlis penutupan Sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri Sabah 2023 di Dewan KDCA di sini pada Rabu.
Penutupan Pesta Kaamatan itu disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Juhar Bin Datuk Haji Mahiruddin.
Hadir sama isterinya, Toh Puan Datuk Seri Panglima (Dr) Hajah Norlidah Binti Tan Sri Datuk R.M Jasni dan Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri I/Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2023, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan; Huguan
Siou, Tan Sri Joseph Pairin KitinganHajiji berkata, kerajaan negeri sentiasa memberikan sokongan kepada program yang
bercirikan kebudayaan dan kemasyarakatan kerana ia berupaya mengeratkan
silaturahim, menyatupadukan rakyat dan memperteguhkan hubungan masyarakat demi
kesejahteraan dan keharmonian negeri.
“Dalam konteks Pesta Kaamatan, meski pun ia disambut oleh masyarakat KDMR tetapi
perayaan ini turut dimeriahkan oleh semua lapisan masyarakat di negeri ini. Amalankongsi raya atau pesta kebudayaan oleh semua kaum merupakan keunikan kita di Sabah yang harus dipertahankan sejajar dengan konsep Malaysia Madani.
“Marilah kita bersama-sama memelihara dan meningkatkan lagi perpaduan, toleransi
dan semangat kekitaan yang tinggi sesuai dengan tema pesta Kaamatan pada tahun ini
iaitu “Kaamatan Membudayakan Perpaduan’.
“Tema ini sejajar dengan konsep Malaysia Madani yang matlamatnya ke arah membentuk sebuah negara bangsa yang sejahtera, maju dan progresif; politik dan ekonominya teguh, kerajaan yang adil lagi saksama, serta negara yang makmur dan
sentosa,” katanya.
Beliau berkata, hanya dengan kestabilan dan perpaduan sahajalah yang mampu
membawa sesebuah negara dan rakyatnya maju ke hadapan, sekali gus dihormati dan
disegani oleh masyarakat antarabangsa.
“Sememangnya perpaduan dan kepelbagaian suku kaum, budaya serta kepercayaan agama di Sabah adalah aset penting yang perlu terus dipelihara dan dipertahankan oleh rakyat negeri ini pada setiap masa.
“Keharmonian serta warna-warni seni budaya di negeri ini menjadikan Sabah unik dan
istimewa, di samping memiliki keindahan alam semula jadi yang pastinya berupaya menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong dari dalam dan luar negara.
“Justeru, Kerajaan Negeri akan sentiasa berusaha memelihara dan menjaga khazanah budaya yang kita warisi ini, disamping memastikan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), yang kini berada di landasan yang tepat, berjalan seiring antara kemajuan dan pemodenan dengan penerapan nilai-nilai budaya yang tinggi,” katanya.-pr/BNN