KOTA KINABALU: Usahawan baharu dan sedia ada perlu memanfaatkan sepenuhnya Minggu Perusahan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk meningkatkan dan
meluaskan perniagaan mereka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata penganjuran Minggu
PMKS ini juga mampu menjadi platform yang sesuai bagi membawa produk atau
perkhidmatan luar bandar terlibat dengan aktiviti padanan perniagaan serta memperluaskan jaringan perniagaan untuk menceburi pasaran baharu.

“Justeru, Minggu PMKS yang diadakan setiap tahun ini boleh dimanfaatkan oleh
komuniti PMKS atau ‘business professionals’ yang berminat dalam mencari peluang
perniagaan mereka.

“Dalam masa sama, program ini juga memberi pendedahan kepada usahawan baharu
atau sedia ada mengenai peluang pembiayaan, program pembangunan sektor
berkaitan dan sesi pemadanan perniagaan bagi meluaskan pasaran perniagaan
mereka.

“Ia juga sejajar dengan usaha kerajaan yang kini giat membangunkan PMKS selepas
tempoh pandemik yang lalu,” katanya sempena Majlis Perasmian Penutupan Minggu
Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Zon Sabah bersempena Minggu
Keusahawanan Negara (MUN) 2023 di Sabah International Convention Centre (SICC)
di sini pada Ahad.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri
Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G.Kitingan.
Hajiji turut melahirkan rasa gembira kerana sempena Minggu Usahawan Negara dan
Minggu PMKS ini, KUSKOP (Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi) dan
agensi dibawahnya bersedia untuk melatih dan menawarkan pembiayaan kewangan,
kursus berkaitan bagi memastikan PMKS berkeupayaan memasarkan produk mereka
dengan lebih efisien dan kebolehpasaran diperingkat pasaran domestik atau luar
negara.

 

“Sudah tentu pelbagai pengisian sempena Minggu PMKS ini, akan memastikan PMKS
di negeri ini lebih berdaya saing. Bagi PMKS yang berjaya menembusi pasaran
antarabangsa, saya berpesan agar sentiasa menjaga kualiti dan kepatuhan piawaian
yang ditetapkan oleh pelbagai negara.

“Dalam era moden pada masa ini, PMKS juga perlu mengaplikasikan teknologi dalam
perniagaan mereka, bukan sahaja dari segi pengeluaran produk tetapi juga perlu
digunakan untuk memasarkan produk mereka.

“Saya mahu semua PMKS khususnya di Sabah agar sentiasa melengkapkan diri
dengan teknologi terkini, meningkatkan kualiti produk dan pembungkusan mereka agar
mampu bersaing dengan produk dari luar,” katanya.

Beliau berkata, PMKS juga perlu bersedia mengharungi cabaran pematuhan amalan
Environment, Social, Governance (ESG) dalam ekosistem peniagaan bermula pada
tahun ini.

“Walaupun ESG masih di peringkat awal pelaksanaan, namun ia akan menjadi tonggak
utama untuk mengukur kemampuan PMKS dalam membina tenaga kerja yang kukuh
dan menambah peluang perniagaan termasuk ke luar negara.

“Ia juga akan memastikan PMKS dapat menembusi rantaian bekalan firma besar dan
syarikat multinasional dalam dan luar negara yang meminta pengeksport mempunyai
garis masa bagi memenuhi kepatuhan ESG untuk pemasaran pembekalan produk serta
perkhidmatan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Menteri berharap program ini dapat menarik penglibatan
usahawan dari golongan belia, asnaf dan orang kurang upaya atau OKU untuk terlibat
dalam aktiviti keusahawanan.

“Program seperti ini adalah satu platform yang terbaik untuk memperkasakan usahawan
belia, asnaf dan OKU di negeri ini,” katanya.-pr/BNN