KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yakin gerakan koperasi di Sabah yang mempunyai 1,707 koperasi berdaftar dan jumlah anggota lebih 350,000 di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dapat membantu membasmi kemiskinan tegar di negeri ini.
“Saya berbangga kerana Sabah mempunyai bilangan koperasi berdaftar kedua tertinggi
di negara selepas Selangor dengan jumlah pendapatan RM570 juta.
“Ini membuktikan gerakan koperasi di Sabah telah berjaya memainkan peranannya dan
menyumbang secara signifikan sebagai salah satu agen pertumbuhan sosioekonomi
yang berpotensi menamatkan kemiskinan tegar,” katanya pada Hari Koperasi Negara di
Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah ( SICC) di sini hari ini.
Lebih membanggakan terdapat empat koperasi dari Sabah iaitu Koperasi
Pembangunan Usahasama Masyarakat Maju Sabah Berhad, Koperasi Kakitangan
Sawit Kinabalu Sabah Berhad, Koperasi Borneo Malaysia Berhad dan Koperasi
Usahawan Tawau Berhad telah disenaraikan dalam Indeks 100 Koperasi Terbaik
Malaysia tahun lalu, katanya.
“Syabas dan tahniah kepada semua koperasi di Sabah. Saya ingin melihat agar lebih
banyak lagi koperasi dari Sabah disenaraikan dalam Indeks 100 Koperasi Terbaik
Malaysia pada tahun akan datang,” katanya dan percaya angka ini boleh
dipertingkatkan apabila kesedaran dan minat menyertai koperasi menjadi cara hidup
yang menyumbang kepada kemakmuran sosio ekonomi negara.
“Ini adalah kerana wahana koperasi merupakan pendekatan yang efektif bukan sahaja
dalam merangsang pembangunan sektor keusahawanan, bahkan berupaya memainkan
peranan besar dalam membantu golongan B40 menangani cabaran peningkatan kos
sara hidup,” katanya.
“Tekad serta iltizam kerajaan adalah “to facilitate and not to frustrate” bagi membantu
menyediakan dasar yang mesra koperasi agar gerakan koperasi secara khususnya di
negeri ini adalah berdaya maju dan kompetitif,” katanya.
Selaras dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang berpaksikan kepada tiga teras utama iaitu Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan, Kerajaan negeri berharap agar gerakan koperasi di negeri ini dapat mengambil peluang sebaiknya inisiatif serta insentif dana yang disediakan dalam memajukan sektor perniagaan koperasi yang diceburi, katanya.
“Begitu juga dari segi bantuan dana dan tabung pembangunan modal koperasi, saya
dimaklumkan baru-baru ini Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi
(KUSKOP) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah meluluskan bantuan
pembiayaan Tabung Modal Pusingan SKM Tahun 2023 (TMPSKM) kepada dua
koperasi di negeri Sabah dengan dana keseluruhan berjumlah RM25.9 juta dalam
bentuk pembelian aset tanah kelapa sawit seluas 1,500 ekar dan juga premis
perniagaan runcit.
“Selain itu, SKM juga telah meluluskan bantuan kepada dua buah koperasi melalui
program pembiayaan yang dikenali sebagai Program eFAST berbentuk geran pembangunan perniagaan kepada koperasi-koperasi yang produktif untuk memantapkan perniagaan.
Hajiji berkata peranan koperasi menjadi pelengkap dan berganding bahu bersama
kerajaan dan sektor swasta dalam mengisi ruang-ruang kosong “untapped business
opportunities” yang ada dalam membangunkan negeri ini secara spesifiknya.
“Justeru, saya mahu semua gerakan koperasi di Sabah terus memperkasakan diri,
meningkatkan daya saing dan merebut peluang ekonomi yang tersedia.
“Di Sabah kita mempunyai banyak jenis koperasi yang membangunkan sosio ekonomi
komuniti, sama ada berkaitan peruncitan atau aktiviti pelancongan dan kelestarian alam
sekitar. Negeri ini kaya dengan sumber alam semulajadi dan sosio budaya yang mampu
menarik ramai pelancong berkunjung sama ada dari dalam atau luar negara,” katanya.
Menurut beliau, pembukaan semula pintu-pintu masuk sempadan negara telah memberi
impak positif dan menggalakkan pemulihan sektor pelancongan dimana Sabah telah
mencatatkan seramai 1.73 juta ketibaan pelancong pada tahun lalu dan tahun ini
dijangka seramai 2.2 juta orang dengan berupaya menjana pendapatan sebanyak
RM4.1 bilion.
Beliau menggesa koperasi di Sabah memanfaatkan ledakan industri pelancongan, yang
mewujudkan pelbagai peluang perniagaan hiliran seperti penginapan, inap desa,
pengangkutan, restoran, taman, dan kedai cenderamata.
Ketua Menteri juga mengalu-alukan penyertaan seramai 186 belia dari 19 negara Asia
Pasifik ke Sidang Kemuncak Koperasi Belia Asia Pasifik (APCYS) di Sabah yang julung
kalinya di adakan di Malaysia bermula 27 hingga 30 Disember tahun ini.-pr/BNN