KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mahu wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) agar terus meningkatkan perpaduan sedia ada untuk
menjadi satu pasukan yang kuat dalam perjuangan parti, bersama membangun negeri
dan seterusnya berkhidmat kepada rakyat.

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata walaupun kerajaan negeri hari
ini masih ada lebih dua tahun memerintah, namun jentera parti khususnya wanita GRS
tidak boleh leka, sebaliknya terus bekerja untuk rakyat:

“Kita kena terus bekerja, perkukuhkan perpaduan, bersatu hati dalam komponen GRS
dan elakkan perselisihan faham serta perpecahan dalam kalangan kita.

“Sebab itu, peranan dan tanggungjawab wanita GRS amat penting dan cukup besar
sekarang. Jentera parti GRS amat memerlukan wanita untuk menyampaikan mesej dan
perjuangan GRS kepada rakyat di peringkat akar umbi di negeri ini.

“Saya amat yakin di bawah pimpinan Ketua Wanita GRS (Datuk Seri Panglima Azizah
Mohd Dun), beliau akan membawa wanita GRS sekarang sebagai satu pasukan yang
kuat. Saya juga yakin kita mampu perkukuhkan dan kuatkan lagi perpaduan yang sedia
wujud ini sekali gus beroleh kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan
datang,” katanya ketika merasmikan Pelancaran Jelajah Wanita GRS di Sabah
International Convention Centre (SICC) di sini pada Ahad.

Hajiji turut melahirkan rasa gembira kerana tujuh parti tempatan dalam GRS terus
bersama-sama untuk memastikan perjuangan rakyat dan negeri ini dapat diteruskan.
Katanya, pelbagai cabaran dan ujian ditempuhi kerajaan negeri sejak mengambil alih
pentadbiran lebih dua tahun lalu.

“Ini termasuklah Langkah Kinabalu, apabila ada pihak yang cuba menggulingkan
kerajaan negeri ketika itu. Bagaimanapun, saya bersyukur atas kesatuan dan
perpaduan kita serta sokongan daripada PH, kita dapat mempertahankan kerajaan
negeri.

“Mandat ini perlu kita pertahankan dan di sinilah juga peranan wanita GRS amat penting
untuk kita mencipta kejayaan dalam PRN akan datang.

 

“Justeru, program jelajah ini amat penting dan saya dimaklumkan oleh Ketua Wanita
GRS bahawa mereka melawat ke semua zon di Sabah untuk menjelaskan dasar serta
perjuangan GRS,” katanya sambil menambah apa yang penting teruskan perjuangan
dan memenuhi aspirasi rakyat Sabah.

Beliau berkata, kerajaan GRS telah membawa banyak kejayaan selama lebih dua tahun
memerintah negeri ini, dan akan membawa lebih banyak lagi pembangunan ke negeri
ini.
“Banyak yang kita sudah buat, malah banyak negara mempunyai keyakinan dalam
kepimpinan GRS apabila duta dan pesuruhjaya mereka yang datang jumpa saya
menyatakan Sabah ada potensi untuk menjadi negeri yang maju. Mereka mahu melabur
ke negeri ini.

“Bagaimanapun, pembangkang menyatakan macam-macam cerita terutama Warisan
yang masih kabur-kabur dan tidak nampak apa yang telah kita buat dalam masa lebih
dua tahun,” katanya.

Justeru katanya, untuk meneruskan usaha yang dibuat kerajaan ini, semua komponen
parti dalam GRS perlu bersatu hati.

“Kita perlu kuatkan perpaduan dalam GRS, wanita kena bantu kami dan begitu juga
golongan muda. Ini untuk memastikan perjuangan kita dalam GRS dapat mencapai
kejayaan pada masa akan datang.

“Jangan kita buat silap lagi hingga berpecah belah, Sabah negeri dan rumah kita.
Kepentingan rakyat sentiasa didahulukan dan inilah perjuangan GRS,” katanya.-pr/BNN