KOTA KINABALU: Wanita di negara ini begitu bertuah kerana kerajaan tidak pernahm engabaikan kepentingan mereka termasuk yang hanya menjadi suri rumah sehingga yang berkerjaya, kata Isteri Ketua Menteri Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag.
Katanya, wanita berhak mendapat pendidikan yang sewajarnya malah turut diberi peluang untuk menjadi usahawan selain pelbagai bantuan turut diberikan kerajaan.
Beliau berkata, ini kerana semua wanita memainkan peranan dan tangungjawab yang sama penting dalam membangunkan masyarakat.
“Wanita yang memilih sebagai suri rumah dan tidak bekerjaya juga memainkan peranan yang besar dalam memastikan kebajikan keluarga, pendidikan anak-anak dan sebagainya.
Justeru suri rumah perlu memiliki ilmu pengetahuan, ilmu kewangan dan kekeluargaan serta menjadi contoh kepada anak-anak”, katanya.Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Anjung Mutiara sempena Sambutan Maal Hijrah 1445H Peringkat Negeri Sabah di Dewan Saadah Wisma Majlis Agama Islam Sabah (MUIS) pada Rabu.
Juliah berkata, di Sabah sendiri saban tahun berlaku perubahan wanita sebagai pembuat keputusan terutamanya dalam sektor penjawat awam.
Menurutnya, setakat bulan Ogos 2023, statistik dan data wanita pembuat keputusan dalam kerajaan negeri bagi jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (TSKN) berjumlah 33.3 % iaitu seorang wanita daripada tiga orang TSKN.
Katanya, bagi jawatan Setiausaha Tetap mencatat 9.09% iaitu seorang wanita daripada
11 Setiausaha Tetap Kementerian. Peratusan Timbalan Setiausaha Tetap (TSUT)
sebanyak 40% iaitu lapan wanita daripada 20 TSUT, manakala Ketua Jabatan pula sebanyak 30.23% iaitu 13 wanita daripada 43 Ketua Jabatan.
“Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan negeri sentiasa berpegang kepada prinsip
pemerkasaan wanita kerana wanita merupakan salah satu tonggak pembangunan
negara yang paling penting, bukan sahaja dalam aspek sosial, politik dan ekonomi, malah merangkumi segala aspek pembangunan negara.
“Justeru, sebagai wanita yang turut memainkan peranan penting kepada pembangunan negara dan bangsa, marilah kita terus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran serta mendalami ilmu agama sebanyak mungkin”, tegasnya.
Juliah berkata, isu berkaitan wanita merupakan sesuatu yang ‘malar segar’ dan perlu ditangani dari masa ke semasa.
Menurutnya, perkara-perkara wanita yang menyentuh soal ibadah banyak dibincangkan oleh para Fuqaha dan cendekiawan Islam dari awal perkembangan Islam hingga kini.
Katanya, agama Islam sangat mengambil perhatian kepada perkara hukum yang berkaitan wanita, kerana kedudukan dan peranan mereka dilihat sebagai sangat besar dalam membentuk generasi masa depan yang lebih cemerlang di dunia dan akhirat.
Justeru katanya, Program Anjung Mutiara yang diadakan amat tepat pada masanya kerana yang dibincangkan oleh penceramah lebih menjurus kepada peranan dan perkara-perkara yang berkaitan wanita dalam Islam.-pr/BNN