KOTA KINABALU: Dua lagi inisiatif baharu iaitu Program Santuni Komuniti bertujuan meningkatkan penghasilan dan penjualan produk oleh usahawan ibu tunggal dan wanita
B40 akan dilaksanakan bagi menyantuni masyarakat yang kurang berkemampuan di
negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya satu lagi inisiatif baharu itu ialah pengagihan Produk Pek Makanan Segera
kepada mangsa-mangsa bencana alam yang ditempatkan di Pusat Penempatan
Sementara.

Beliau berkata pelbagai pendekatan yang diambil kerajaan adalah bagi membantu
rakyat yang tidak berkemampuan di negeri ini.

“Selaras dengan hala tuju Kerajaan Negeri untuk membudayakan masyarakat prihatin
dan merakyatkan perkhidmatan yang cemerlang, Kerajaan Negeri kekal komited untuk
meningkatkan kesejahteraan rakyat. Pelbagai inisiatif dan program yang merupakan
flagships di bawah Pelan Pembangunan SMJ yang telah dilaksanakan sebelum ini
diteruskan pada tahun ini.

“Selain dua pendekatan baharu itu, beberapa program yang diteruskan pada tahun ini
antaranya Program Homeward untuk menyantuni rakyat dalam kategori sakit terlantar
dan Program Pusat Perkembangan Kanak-Kanak (PPKK) untuk memberi pendidikan
awal kepada kanak-kanak di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai kemudahan
Pra- Sekolah dan Tadika.

“Kita juga meneruskan Program Outreach Santuni Wanita dan Program JHEWAnita
untuk memperkasa golongan ibu tunggal dan wanita B40,” katanya sempena Majlis
Makan Malam Amal Sinar Madani Sabah Maju Jaya di Sabah International Convention
Centre (SICC) di sini pada Sabtu.

Sehubungan itu beliau menggesa sektor korporat dan orang perseorangan yang
berkemampuan untuk terus menyokong majlis amal seupama ini bagi membantu
golongan berkeperluan terutamanya di pedalaman dan luar bandar.

“Kalau bukan kita yang menjalankan kerja-kerja kebajikan siapa lagi yang akan
membantu mereka. Inilah sikap Sabah Madani yang harus kita tanam sebagai benih
prinsip hidup kita di Sabah

 

 

“Sesungguhnya, majlis makan malam amal ini amat bermakna untuk membantu mereka
yang kurang bernasib baik dalam meneruskan kelangsungan hidup pada hari ini,terutama selepas pandemik COVID-19.

“Dalam kita masih mampu untuk membeli makanan dan barang keperluan keluarga,
masih ada insan-insan di luar sana yang memerlukan pertolongan bantuan daripada
kita,” katanya.

Beliau turut merakamkan tahniah kepada Yayasan Sinar Kasih serta rakan kerjasamanya iaitu PEWASA dan SEAMEX kerana berjaya menganjurkan Majlis Makan Malam Amal berkenaan.

“Saya berharap Yayasan Sinar Kasih ini dapat terus membantu jentera kerajaan untuk
pembangunan ummah di negeri ini,” katanya.-pr/BNN