TUARAN: Program Jelajah Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dilancarkan
pada bulan Julai lalu, perlu digunakan sebaiknya untuk menjelaskan dasar dan
perjuangan GRS kepada rakyat di peringkat akar umbi di negeri ini, tegas Ketua Menteri,
Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Sehubungan itu beliau yang juga Pengerusi GRS mahu wanita GRS memainkan peranan yang lebih berkesan dalam memastikan rakyat tahu dan memahami segala dasar yang diperjuangkan oleh kerajaan.
Ini katanya termasuklah usaha kerajaan GRS untuk terus menuntut hak negeri mengikut
Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Peranan dan tanggungjawab wanita GRS amat penting dan cukup besar. Jentera parti GRS amat memerlukan wanita untuk menyampaikan mesej dan perjuangan GRS kepada rakyat di peringkat akar umbi di negeri ini.
“Bagi saya, Program Jelajah Wanita GRS ini amat penting untuk menjelaskan dasar, perjuangan dan kejayaan kerajaan GRS selama kira-kira tiga tahun menerajui negeri ini, di semua zon di Sabah yang akan dilawati.
“Wanita GRS adalah tonggak kepada kekuatan parti yang mendokong kerajaan pada hari ini, bersama rakan-rakan daripada parti lain. Justeru, pergerakan wanita parti komponen dalam GRS perlu terus meningkatkan persefahaman dan perpaduan yang sedia terjalin utuh, untuk menjadi satu pasukan yang kuat dalam perjuangan demi aspirasi rakyat negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Jelajah Wanita GRS Zon 1B Parlimen Tuaran dan Parlimen Kota Belud di Dewan Sri Sulaman, di sini pada Ahad.
Teks ucapannya dibacakan oleh Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.
Pelancaran Jelajah Wanita GRS telah disempurnakan ketua menterri pada 23 Julai
2023 lalu, di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu.
Hajiji berkata, kerajaan GRS telah berhadapan dengan pelbagai ujian yang getir, sejak
mengambil alih pentadbiran kira-kira tiga tahun lalu.
“Ini termasuklah ‘Langkah Kinabalu’, apabila ada pihak yang cuba menggulingkan
kerajaan negeri. Namun atas kesatuan dan perpaduan kita serta sokongan daripada
Pakatan Harapan (PH) kita dapat mempertahankan kerajaan negeri.
“Mandat ini perlu kita pertahankan, dan di sinilah juga peranan Wanita GRS amat
penting untuk kita terus mencipta kejayaan dalam PRN (Pilihan Raya Negeri) akan
datang.
“Semua jentera parti khususnya Wanita GRS tidak boleh leka dan berpecah, sebaliknya
perlu terus bekerja untuk rakyat dan mendekati mereka di akar umbi. Kita perlu terus
memperkukuhkan perpaduan dan bersatu hati dalam komponen GRS serta tterus bekerja untuk rakyat dan negeri Sabah tercinta,” katanya.
Sementara itu beliau berkata kerajaan GRS telah membawa banyak kejayaan selama
kira-kira tiga tahun memerintah negeri ini, dan akan membawa lebih banyak lagi pembangunan ke seluruh Sabah, seperti yang diperlukan rakyat.
“Namun sudah menjadi lumrah, pihak pembangkang khususnya Parti Warisan terus menafikan pencapaian dan kejayaan kita, kerana mereka menghidap sindrom penafian.
“Sebenarnya Warisan yang masih kabur-kabur dan tidak nampak apa yang kita telah buat dalam masa tiga tahun ini. Suka saya mengingatkan agar kita tidak buat silap lagi seperti dahulu hingga kita berpecah-belah. Kepentingan rakyat sentiasa kita dahulukan dan inilah perjuangan GRS,” katanya.-pr/BNN