KOTA KINABALU: Program Tranformasi Sekolah 2025 (TS25) mampu melahirkan guru berkualiti dan persekitaran Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) yang bermakna
dengan sokongan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti, kata
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Katanya, ini kerana TS25 adalah satu usaha ke arah melahirkan modal insan unggul
melalui persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan, disokong kepimpinan yang
berkualiti dan berwawasan, guru yang kompeten dan beraspirasi tinggi serta komitmen
komuniti yang padu.
Menurutnya, Program TS25 merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian
Pendidikan Malaysia ke arah meningkatkan kemenjadian murid dan sekolah berkualiti.
“Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan dan menyokong Program TS25 dalam usaha
membantu meningkatkan lagi kecemerlangan pendidikan di negeri ini”, katanya pada
majlis penutupan Kolokium TS25 Peringkat Antarabangsa 2023 di Sabah International
Convention Centre (SICC) pada Selasa.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk
Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan.
Katanya, kolokium yang bertemakan “Tranformasi Sekolah Melonjak Kecemerlangan
Daerah” selama 2 hari itu melibatkan penyertaan dan pembentang perkongsian amalan
terbaik Transformasi TS25 dari peringkat sekolah, pendidikan daerah dan negeri serta
institusi-institusi pendidikan luar negara.
“Sesungguhnya, platform dari sekolah ke persada antarabangsa ini memenuhi tuntutan
cabaran transformasi globalisasi dalam pendidikan agar pendidik di sekolah-sekolah
TS25 lebih bermotivasi untuk terus transform, berkarya, berkongsi kejayaan dari amalan
terbaik, dapatan-dapatan kajian, intervensi, kreativiti dan inovasi yang mampu memberi
tambah nilai dalam mengatasi isu-isu pendidikan dan pengurusan dalam kalangan
warga pendidik”.
“Kelangsungan pengantarabangsaan kolokium ini juga dapat memastikan kesinambungan penyelidikan dan inovasi dan pendidikan kita terus subur berkembang”.
“Ramai dalam kalangan pendidik kita di sekolah TS25 yang mempunyai hasil dapatan kajian berimpak tinggi, strategi pengajaran dan pembelajaran bermakna, inovasi yang
mampu mengurangkan atau mengatasi isu dengan impak yang besar di dalam bilik
darjah tetapi tidak dikongsi dan disebarkan untuk dijadikan amalan terbaik oleh warga
pendidik yang lain”, tambahnya.
Hajiji berharap melalui kolokium itu semakin banyak penghargaan dan pengiktirafan
penyelidikan, inovasi dan amalan baik dapat dimantapkan sehingga menjadi bitara
budaya kerja cemerlang.
Katanya, penyertaan peserta dan pembentang kolokium TS25 merupakan dinamika
paradigma positif dalam tranformasi kecemerlangan pendidikan yang akan membawa
impak kecemerlangan pendidikan di peringkat daerah, negeri dan negara.
Beliau berharap hasil daripada kolokium itu dapat dikongsikan dan digunakan demi
kecemerlangan dan kemenjadian murid serta sekolah, khususnya di negeri ini.-pr/BNN