KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri bertekad memperhebatkan lagi pembangunan negeri Sabah disamping menambah baik kualiti hidup rakyat menerusi pelaksanaan
pelbagai program dan inisiatif yang meliputi pelbagai sektor pembangunan, kata Ketua
Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Seiring dengan komitmen itu, katanya Kerajaan negeri akan menubuhkan dua lagi
taman perindustrian baharu iaitu di Kimanis bagi minyak dan gas dan taman
perindustrian biasa di kawasan antara Kota Marudu dan Kota Belud.

Beliau berkata, penubuhan taman perindustrian baharu itu dilakukan susulan dua taman
perindustrian sedia ada iaitu Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (Sogip) dan
Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) telah hampir penuh.

“Usaha ini juga sejajar dengan pendekatan mesra pelabur yang diamalkan kerajaan
untuk merancakkan lagi pertumbuhan industri di negeri ini”, katanya dalam ucapan
menjunjung kasih pada Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan
Bintang-Bintang serta Pingat-Pingat Negeri Sabah Sempena Sambutan Ulang Tahun
Kelahiran Rasmi Ke-70 Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr)
Haji Juhar bin Datuk Haji Mahiruddin di Istana Negeri pada Sabtu.

Hajiji berkata, dalam tempoh baharu tiga tahun menerajui negeri ini, agenda
pembangunan negeri khususnya Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) kini berada di
landasan yang betul dan mula menampakkan hasil positif.

Menurutnya, kejayaan turut dicapai dalam pelbagai sektor yang diberi keutamaan
menerusi SMJ seperti perindustrian, pertanian dan pelancongan termasuk
pembangunan modal insan bagi memastikan anak-anak tidak tercicir dalam aspek
pendidikan dan peluang pekerjaan.

Katanya, menurut laporan Statistik Perdagangan Luar Negeri Sabah, negeri ini telah
mencatatkan jumlah perdagangan sebanyak RM118.1 billion pada tahun 2022, yang
merangkumi eksport sebanyak RM77.2 billion dan import RM40.9 billion, dengan
lebihan dagangan sebanyak RM36.2 billion.

 

“Dari segi eksport ia membabitkan produk perdagangan utama antaranya petroleum
mentah, minyak kelapa Sawit dan gas asli cecair manakala import kita ialah jentera dan
kelengkapan pengangkutan, makanan serta barangan keluaran kilang”.

“Walaupun pencapaian ini amat memberangsangkan, namun banyak lagi yang perlu
kita lakukan untuk tahun-tahun mendatang, khususnya membabitkan tiga teras utama
Hala Tuju Sabah Maju Jaya iaitu sektor perindustrian, pertanian dan pelancongan”,
tambahnya.

Hajiji berkata, dalam aspek pelancongan, jumlah ketibaan pelancong ke Sabah semakin
meningkat iaitu seramai 1.4 juta pengunjung dalam tempoh Januari hingga Julai 2023,
dengan pelancong tempatan seramai 999,129 dan antarabangsa 424,052 orang.

Menurutnya, perkembangan itu jelas bahawa sektor pelancongan di Sabah terus
menunjukkan pertumbuhan kukuh untuk tahun ini dan masa-masa akan datang.

“Sesungguhnya, kerajaan negeri adalah kerajaan yang bertanggungjawab, bukan saja
memikirkan dan merancang, malah lebih penting ialah melaksanakan agenda
pembangunan. Kerajaan negeri komited dan akan berusaha untuk menyelesaikan
masalah-masalah legasi yang kita warisi seperti bekalan air dan eletrik demi
kesejahteraan rakyat”, tegasnya.

Sementara itu, Hajiji dan isteri Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag menghadiri
Istidat Perbarisan sempena Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-70 Yang Di-Pertua Negeri
di Padang Merdeka.

Istiadat perbarisan itu disertai oleh jabatan kerajaan tidak berpakaian seragam rasmi,
agensi swasta, pertubuhan bukan kerajaan, persatuan etnik Sabah, IPTA, IPTS, sekolah
menengah dan sekolah rendah.-pr/BNN