KINABATANGAN: Rakyat Kinabatangan menyambut baik dan mengalu-alukan rancangan kerajaan untuk membina unit Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kinabatangan, kata Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Encik Johainizam Haji Johari.
Katanya, kawasan parlimen Kinabatangan amat memerlukan unit PPR bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah kediaman.
Beliau berkata, keperluan PPR telah lama disuarakan oleh pemimpin di kawasan itu memandangkan Kinabatangan masih belum mempunyai sebarang Unit PPR.
“Rakyat Kinabatangan menyambut baik cadangan Kerajaan untuk membina unit PPR di Kinabatangan. Pembinaan unit PPR Ini juga adalah selaras dengan Rancangan Pembangunan Kinabatangan yang direstui oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam bahawa bagi tahun ini kerajaan telah mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Persekutuan untuk membina unit PPR di Putatan, Kinabatangan dan Kuala Penyu.
Menurutnya, Majlis Daerah Kinabatangan sebelum ini sukar untuk meneruskan agenda pembangunan disebabkan tidak memiliki tanah sendiri. Namun atas usaha semua pihak dan jabatan, pada 13 Oktober 2023, Jabatan Tanah Ukur Kota Kinabalu, telah mengeluarkan surat tawaran (Offer Letter) untuk tujuan Tapak Perumahan kepada Majlis Daerah Kinabatangan seluas 92.70 ekar.
Katanya, tanah itu telah mula dipohon sejak tahun 2003 lagi dan kini telah pun lulus mengikut prosedur yang sedia ada.
“Kita berharap Kerajaan Persekutuan dibawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi kelulusan pembiayaan segera cadangan Kerajaan Negeri itu agar rakyat Kinabatangan juga mendapat kemudahan unit PPR itu”, tambahnya.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Lamag berkata, banyak daerah di Sabah masih belum mempunyai unit PPR terutama di kawasan luar bandar.
Katanya, membina unit PPR merupakan satu keperluan yang mendesak memandangkan ramai rakyat di kawasan luar bandar tidak mampu membina dan memiliki rumah sendiri.
“Kita berharap Kerajaan Persekutuan akan menyalurkan lebih banyak peruntukan untuk membiayai pembinaan lebih banyak unit PPR di Sabah”, tegasnya.
Dr.Joachim pada 4 September 2023 lalu berkatq, tiga permohonan yang dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan untuk membina unit PPR di tapak yang dikenal pasti di Putatan, Kinabatangan dan Kuala Penyu, hanya tapak di Kuala Penyu baru-baru ini diluluskan untuk 100 unit.
Sebenarnya, katanya kerajaan Negeri memohon 200 unit dibina di Kuala Penyu tetapi disebabkan kajian kebolehlaksanaan yang telah dijalankan, hanya 100 unit diluluskan.
Joachim berkata baru-baru ini beliau bertemu dengan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Persekutuan, yang telah membangkitkan beberapa isu mengenai pembangunan perumahan di Sabah dan menteri berkenaan berkata kajian kemungkinan perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum mendapatkan dana.-pr/BNN