KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri sentiasa memberi galakan dan sokongan kepada perkhidmatan awam negeri ini terlibat dalam aktiviti sukan bagi memastikan kualiti
kesihatan fizikal dan mental berada di tahap yang baik, kata Ketua Menteri, Datuk Seri
Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, Jabatan Ketua Menteri (JKM) sebagai organisasi utama yang menerajui
pentadbiran kerajaan Sabah memerlukan tenaga kerja yang berkualiti di semua
peringkat, agar mampu memberi perkhidmatan yang cepat, tepat dan berkesan
kepada rakyat.

“Dalam usaha menjayakan agenda Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya
(SMJ), kita amat memerlukan penjawat awam yang sihat, cerdas, cekap dan mampu
berdaya saing”.

“Justeru, saya menggalakkan penjawat awam khususnya warga kerja JKM supaya
meluangkan sedikit masa dalam jadual harian untuk bersenam. Bukan sahaja untuk
cergas malah menghindarkan diri daripada pelbagai penyakit”, katanya pada Majlis
Penutupan Pesta Sukan Muhibah JKM Ke-13 Tahun 2023 di Sabah International
Convention Centre (SICC) pada Jumaat.

Sebanyak 10 jenis sukan dipertandingkan dalam kejohanan sukan dwi-tahunan itu, yang disertai oleh 6 pasukan iaitu Jabatan Ketua Menteri (Perdana), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Tanah dan Ukur, Perhutanan Sabah, Yayasan Sabah dan Sawit Kinabalu. Hajiji berkata, Pesta Sukan Muhibah JKM merupakan medan terbaik rekreasi serta menjadi tempat sesi perkongsian idea dan pendapat dikalangan kakitangan awam
bagi memantapkan lagi organisasi masing-masing.

Malah katanya, aktiviti sukan juga boleh dijadikan satu elemen penting dalam kehidupan bagi membina peribadi mulia dan membentuk masyarakat yang sihat, disamping mencungkil bakat-bakat dalam kalangan penjawat awam yang boleh dimanfaatkan ke peringkat yang lebih tinggi.

Menurutnya, Pesta Sukan Muhibah JKM yang dimulakan pada tahun 1999 dapat mengeratkan lagi kerjasama, meningkatkan semangat kerja berpasukan dan kesukanan dalam warga kerja JKM, sekali gus menggalakkan dan membudayakan gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan.

Hajiji juga berharap pesta sukan itu dapat mendorong anggota perkhidmatan awam
negeri ini memelihara kesihatan fizikal, mental, sosial dan rohani dengan baik, agar
dapat memberi khidmat bakti yang lebih cekap dan produktif.

“Secara peribadi saya berpendapat pesta sukan ini merupakan manifestasi
permuafakatan yang harmoni antara kakitangan perkhidmatan awam dibawah JKM
yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan bermasyarakat dan dalam merealisasikan
kehendak dan gagasan Malaysia Madani dan Sabah Maju Jaya”, tegasnya. -pr/BNN