KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mahu lebih ramai usahawan di Sabah menghasilkan produk makanan halal yang bukan sekadar untuk pasaran tempatan, malah ke peringkat global.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, Sabah memiliki pelbagai produk makanan yang boleh diketengahkan oleh usahawan tempatan hingga ke peringkat lebih tinggi.

Beliau berkata, walaupun pembabitan usahawan termasuk perindustrian mikro kecil dan
sederhana (PMKS) dalam industri makanan halal di negeri ini semakin bertambah, namun masih perlu terus dipergiatkan.

“Kita mahu melihat pembabitan lebih ramai usahawan dalam bidang produk makanan halal di Sabah. Usahawan baharu dan sedia ada juga perlu memanfaatkan sepenuhnya expo halal yang diadakan untuk meningkatkan dan meluaskan perniagaan mereka” katanya pada Majlis Perasmian Expo Halal Sabah (SAHEX) dan Karnival Baurung- Urung di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Sabtu.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Kadzim Haji M.Yahya.

Hajiji berkata, Kerajaan sangat mengambil perhatian mengenai pengurusan halal di negeri ini berikutan pasaran global industri halal dunia dijangkakan mencapai jumlah USD2.4 trilion pada 2024.

Katanya, keprihatinan kerajaan dizahirkan melalui penubuhan Majlis Halal Sabah (MAHAS) yang berperanan sebagai badan rasmi kerajaan dalam membincang, mengkaji dan membuat keputusan isu-isu halal serta mencadang langkah baharu bagi membangun industri halal di negeri ini.

Beliau berkata, yang penting dalam pengurusan halal ialah semua pihak, jabatan dan
agensi yang terlibat memberi tumpuan khusus kepada memperkasa aspek pensijilan halal khususnya kepada PMKS.

“Ini penting agar PMKS juga mampu bersaing dan memiliki keupayaan dalam pasaran industri halal di negeri ini”, tambahnya.

 

Melalui usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri, beliau berharap Expo Halal Sabah
yang diadakan akan memantapkan lagi kefahaman Pensijilan Halal Malaysia kepada
pemain industri dan pengunjung expo.

“Expo ini juga dapat menjalin jaringan kerjasama pemain-pemain indusrti halal di dalam
dan luar negara, di samping memperkenalkan produk-produk halal buatan tempatan di
negeri ini”, tegasnya.

Menyentuh Karnival Baurung-Urung, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri mengalu-alukan
penganjuran karnival itu bagi memupuk maufakat dan sikap toleransi dalam masyarakat
tanpa mengira bangsa, kaum dan agama di negeri ini.

Beliau berharap Karnival Baurung-Urung sebagai antara khazanah budaya negeri ini
yang boleh diketengahkan kepada pelancong dari dalam dan luar negara.

Katanya, masyarakat Brunei yang memiliki pelbagai khazanah seni budaya dan adat
resam, boleh menjadi sebahagian daripada penyumbang dalam sektor pelancongan.

“Usaha berterusan perlu dilakukan untuk merancakkan sektor pelancongan. Karnival
seumpama ini perlu dipromosikan sebagai salah satu produk untuk meningkatkan
sumber pendapatan pelancongan negeri Sabah”, katanya.-pr/BNN