KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan memastikan keperluan tanah perkuburan
untuk masyarakat Islam dan bukan Islam di bandar raya ini diberikan perhatian yang
sebaik mungkin.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata kerajaan menyedari
wujud keperluan untuk mendapatkan tapak baharu tanah perkuburan berikutan tapak
sedia ada sekarang semakin penuh.

Katanya, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU)
sudah diminta untuk mengenal pasti tanah kosong yang sesuai termasuk di Inanam,
Menggatal dan Kepayan.

“Tanah perkuburan sedia ada semakin hari semakin penuh, penduduk pun makin
bertambah. Jadi kita perlu tanah perkuburan baharu di bandar raya ini untuk
menampung keperluan sehingga 30 tahun atau 40 tahun akan datang”.

“Saya juga minta JTU supaya melihat perkara ini sebagai satu keperluan dan perlu diberi
keutamaan. Mana-mana tanah kosong di bandar raya ini, di Inanam, Menggatal,
Kepayan mesti ada satu tanah untuk perkuburan”.

“Ini bukan saja untuk perkuburan Islam tetapi juga perkuburan bukan Islam kerana
mereka juga perlukan tanah perkuburan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Pewartaan Tapak Tanah Perkuburan
Islam Taman Sempelang daripada JTU kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), di
Taman Sempelang, Sembulan pada Ahad.

Pada majlis itu, Hajiji turut mengumumkan kelulusan kawasan tanah di sebelah tanah
perkuburan Islam Taman Sempelang yang dimiliki oleh DBKK sebagai tanah
perkuburan bagi menambah keluasan tanah perkuburan sedia ada.

Katanya, penambahan keluasan tanah perkuburan itu penting memandangkan tapak
perkuburan sedia ada sudah penuh hingga merisaukan penduduk setempat untuk
mencari lokasi pengkebumian ahli keluarga mereka.

 

“Soalnya di Sembulan dan Tanjung Aru serta sekitar Kota Kinabalu kekurangan tempat
atau tanah perkuburan Islam. Saya telah nyatakan kepada Mayor DBKK dulu lagi dan
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAINS) sebelum ini supaya fikir satu
kawasan tanah perkuburan untuk warga bandar raya Kota Kinabalu.

“Jadi hari ini, selain penyerahan pewartaan tanah perkuburan Islam Kampung
Sembulan, saya ingin maklumkan kepada warga Sembulan dan Tanjung Aru bahawa
tanah lapang yang dulu untuk DBKK di Taman Sempelang dijadikan tanah perkuburan
Islam Kampung Sembulan dan Tanjung Aru,” katanya.

Ketua Menteri juga berharap tiada lagi persoalan mengenai tanah lapang di Taman
Sempelang, Sembulan itu setelah kerajaan memutuskan untuk menjadikannya tanah
perkuburan baharu.

Beliau berkata, kerajaan turut memberi perhatian yang sama terhadap keperluan tanah
perkuburan untuk orang bukan Islam, khususnya di bandar raya Kota Kinabalu.

“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab terhadap kepentingan masyarakat Islam dan bukan Islam, kita mesti fikir keperluan asas tanah perkuburan ini dengan
sebaiknya,” katanya.

Sementara itu, Hajiji turut mengulas mengenai status tanah perkampungan atas air Kampung Sembulan yang terletak bersebelahan Harbour City.

Katanya, kerajaan mempunyai cadangan untuk membangunkan tanah itu jika dipersetujui oleh pemilik asalnya, termasuk dibangunkan dengan perumahan khusus
untuk mereka.

“Kita ada satu cadangan dan kalau dipersetujui pemilik asal tanah, kita akan bangunkan
kawasan di belakang Harbour City itu dan kita akan beri keutamaan kepada penduduk
asal yang tiada rumah sekarang dan kita akan beri rumah untuk mereka,” katanya.

Katanya, jika dipersetujui pembangunan kawasan seluas kira-kira 30 ekar itu akan
diberikan kepada pemaju yang sanggup membina terlebih dahulu rumah untuk penduduk berpindah dan setelah selesai baru membangunkan kawasan tanah selebihnya.-pr/BNN