KOTA KINABALU, 16 November 2023: Para graduan diharap agar tidak hanya memfokuskan pencarian peluang kerja di bandar-bandar besar tetapi mereka perlu sudi berkhidmat kepada masyarakat di luar bandar atau sekurang-kurangnya di tempat atau daerah sendiri.
Selain itu, Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Julita Majungki berkata, mereka juga perlu menggunakan setiap ruang dan peluang yang ada untuk mempelajari sebanyak mungkin ilmu pengetahuan serta mengaplikasikan segala ilmu yang telah dipelajari untuk diri, keluarga dan masyarakat.
“Gunakanlah ilmu yang dimiliki sebaik-baiknya untuk kerjaya dan kehidupan yang cemerlang,” katanya ketika merasmikan Majlis Konvokesyen kali ke-5 MAHSA College Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini, yang melibatkan seramai 192 graduan dari sembilan bidang program pengajian.
Mengucapkan tahniah kepada para graduan yang terlibat dalam konvokesyen tersebut, Julita yang juga ADUN Matunggong berkata, proses pembelajaran adalah satu proses yang berterusan di mana para graduan perlu ambil sikap berfikiran terbuka dalam mempelajari sesuatu.
“Ilmu yang diperolehi itu boleh membantu kita dan para graduan untuk melihat dan menilai sesuatu keadaan dari pelbagai perspektif.
“Ilmu itu jugalah yang akan menjadi bekalan hidup bagi para graduan untuk membina kecemerlangan kerjaya dan menabur bakti kepada  keluarga, masyarakat dan negeri/negara kita,” katanya.
Beliau berharap segala ilmu dan kemahiran yang diterokai dan diperoleh sepanjang menjalani latihan mampu menjadi batu asas yang kukuh kepada para graduan untuk menjadi komuniti pekerja yang berdedikasi dan berkomitmen tinggi serta berdaya saing dalam menyumbang ke arah pembangunan ekonomi negeri dan negara kita.
Bagi pihak Kerajaan Negeri, Julita mengucapkan terima kasih kepada MAHSA College atas sumbangannya dalam membentuk dan membangun tenaga mahir dan modal insan dalam sektor kesihatan di Sabah.
MAHSA College mempunyai bilangan pelajar yang agak ramai di Sabah iaitu 800 orang pelajar dan melalui kerjasama dengan sekurang-kurangnya 15 hospital kerajaan melalui memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai, Julita yakin graduan dari kolej ini bakal melahirkan individu yang cukup tersedia dengan alam pekerjaan dan mengetahui tuntutan kerja serta tanggungjawab sebagai pekerja dalam sektor ini.-pr/BNN