TUARAN: Kerajaan Negeri memberi keutamaan kepada aspek pendidikan untuk melahirkan modal insan yang berdaya saing, berkemahiran dan berkualiti tinggi, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, komitmen kerajaan juga seiring dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menjadikan Pembangunan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat sebagai teras kedua pelan berkenaan.

Sebab itu katanya, banyak inisiatif yang telah beliau perkenalkan dan berikan kepada pelajar negeri ini dari peringkat sekolah rendah, menengah hingga ke institut pengajian
tinggi (IPT) untuk memastikan mereka dapat meneruskan pembelajaran hingga ke tahap
lebih tinggi.

Beliau berkata, semua inisiatif itu semata-mata untuk membantu dan memastikan
kecemerlangan anak-anak dalam pendidikan, kerana mereka merupakan modal insan
yang penting dan amat diperlukan untuk membawa negeri ini ke tahap yang lebih
membangun.

“Kerajaan juga mahu memastikan anak-anak sama ada berada di bandar atau luar
bandar negeri ini mendapat kesamarataan akses pendidikan yang sempurna dengan
keadaan sekolah yang baik dan selesa”.

“Hanya menerusi ilmu pengetahuan, kemahiran dan pendidikan yang tinggi, mereka
dapat bersaing dan berjaya, sekaligus menyumbang kepada pembangunan masyarakat
dan negeri Sabah khususnya”.

“Kerajaan Negeri juga terus memperkukuhkan lagi pembangunan modal insan dengan
penyediaan peruntukan sebanyak RM474.55 juta pada tahun depan, untuk melaksanakan pelbagai program antaranya berkaitan pendidikan dan latihan”, katanya pada Majlis Sambutan Jubli Intan 60 Tahun Sekolah Kebangsaan (SK) Bundung, di sini pada Selasa.

 

Menyentuh sekolah-sekolah daif di Sabah, Hajiji berkata Kerajaan Persekutuan dibawah
pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim memberi keutamaan untuk menaiktaraf infrastruktur dan kemudahan sekolah-sekolah tersebut.

Beliau juga mengingatkan ibu bapa agar memastikan anak-anak mendapat pendidikan
yang baik, dan tidak membiarkan mereka terjebak dengan kegiatan dan anasir negatif
yang boleh merosakkan kehidupan dan masa depan mereka.

Sejajar dengan usia Jubli Intan SK Bundung, Hajiji mahu sambutan itu menjadi pemangkin dan pencetus semangat kepada seluruh warga sekolah untuk terus melahirkan lebih ramai modal insan yang cemerlang dari segi akademik dan insaniah, serta bersama-sama membangunkan negeri ini pada masa hadapan.

Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM200 ribu untuk membantu membaiki beberapa kemudahan di SK Bundung yang telah berusia 60 tahun, dan diketegorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM) luar bandar.-pr/BNN