KOTA KINABALU: Agak melucukan apabila Bung dan Shafie Apdal telah membuat keputusan awal untuk berkerjasama bagi bertarung menentang Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) pada PRN-17 Sabah dalam masa yang sama Ahli Majlis Tertinggi (AMT) dan Presiden UMNO belum membuat keputusan mengenai cadangan tersebut.
Dalam satu kenyataan, Datuk Zulkarnain Mahdar Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) berkata pemimpin itu dilihat begitu gopoh dan menyerlahkan lagi kelemahan mereka dimata seluruh rakyat Sabah.
Kedua mereka tentu tahu Sabah ketika ini mempunyai rezab kewangan negeri yang banyak dan limpahan pelabur luar ke Sabah justeru andaian atas faktor ini mungkin mendorong mereka bersungguh-sungguh mahu menumbangkan Hajiji, katanya.
“Kedua pemimpin ini juga tidak menghiraukan nasihat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini apabila secara terbuka menyatakan sokongan kepada Hajiji.” katanya.
“Pada 07 Dis lalu Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan Kerajaan Perpaduan kekal dengan pendirian menyokong kepemimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.”
“Anwar Ibrahim membuat kenyataan tersebut semasa merasmikan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan di Dataran Buhavan Square Penampang, Sabah.”
Harus diingat Bung Moktar bukan Presiden UMNO sebaliknya hanya Pengerusi UMNO Sabah sudah tentu setiap keputusan besar membabitkan UMNO di Sabah termasuk cadangan bekerjasama dengan Parti Warisan Sabah dan untuk menentang GRS dan PH kebiasaannya akan diputuskan bersama oleh AMT dan Presiden UMNO, kata Zulkarnain.
Walaupun UMNO Sabah telah diberikan hak autonomi tetapi keputusan besar membabitkan UMNO perlu melalui keputusan AMT dan Presiden parti.
Menurut beliau, Shafie Adpal dilihat begitu terdesak untuk mencari talian hayat untuk menyelamatkan Parti Warisan Sabah.
Rakyat Sabah sebenarnya secara total telah menolak Warisan apabila parti itu hanya menang 3 kerusi pada PRU-15 lalu malahan penolakan itu tetap tidak akan berubah menjelang PRN-17, katanya.
“Rekod cemerlang Hajiji memgemudi negeri Sabah ketika ini secara jelas menunjukkan majoriti rakyat Sabah amat selesa dengan kepimpinan Hajiji berbanding Bung dan Shafie Apadal malahan dapatan kajian daripada 2 badan bebas juga turut mengesahkan perkara itu.”-pr/BNN