KOTA KINABALU: University College Sabah Foundation (UCSF) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) bagi usaha menawarkan Program Ijazah Sarjana Muda Senibina di Sabah.
Menerusi MOA itu USIM akan bekerjasama dalam membantu membina kurikulum serta menawarkan Program Ijazah Sarjana Muda Senibina bagi UCSF sehingga mencapai akreditasi.
Naib Canselor UCSF, Dr Rafiq Idris berkata, kerjasama perjanjian itu membuka ruang luas kepada penghasilan tenaga kerja mahir dan profesional untuk masa hadapan dalam bidang senibina.
Beliau berharap program itu dapat mula ditawarkan dalam tempoh kurang dari setahun.
“Dengan adanya program ijazah sarjana muda senibina, ianya boleh menjadi pelengkap terhadap keperluan negeri di Sabah disamping memberi alternatif atau menu tambahan bagi kursus pengajian tinggi kepada anak-anak Sabah.
“Dengan penawaran kursus ini kelak, UCSF bakal menjadi universiti pertama di negeri Sabah yang menawarkan kursus Ijazah Sarjana Muda dalam bidang senibina”, tambahnya.
Dr Rafiq juga mencadangkan agar tema senibina Borneo menjadi antara pengisian sebahagian matapelajaran yang bakal ditawarkan kelak.
“Ini bakal menjadikan kursus ini unik dengan kekayaan budaya serta senibina pelbagai kaum yang ada di negeri Sabah”, jelasnya.
Menurut Pengerusi Lembaga Pengelola dan Lembaga Pengarah UCSF, Datuk Mohd Yaakub Hj Johari, ini adalah salah satu kaedah UCSF boleh membantu dalam melengkapi dan mempercepatkan usaha memenuhi keperluan modal insan negeri selaras dengan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ).
Sementara itu, Naib Canselor USIM, Prof Dato Ts Dr Syarifudin berkata, ini merupakan suatu titik sejarah untuk kerjasama antara IPTS-IPTA dalam memertabatkan agenda pendidikan tinggi negara khususnya untuk negeri Sabah, dengan UCSF menawarkan program ijazahzsarjana muda architecture pertama di Sabah dan Borneo dengan dibantu oleh USIM.
Turut hadir ialah Pro-Canselor UCSF, Dato Sri Gulamhaidar @ Yusuf Khan Bahadar dan pegawai utama kedua-dua universiti tersebut.-pr/BNN