Pembangunan mampan dijadikan agenda utama

0

KOTA KINABALU: Prinsip pembangunan mampan akan terus diterapkan di negeri ini untuk menyokong inisiatif pertumbuhan hijau, dalam usaha mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi agar lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim dan bencana.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata seiring dengan itu kerajaan negeri akan menjayakan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi menjadikan Sabah sebuah negeri yang maju dan mampan.

“Matlamat Pembangunan Mampan atau SDG adalah paksi penting dalam semua
perancangan dan dasar bagi menangani isu pembangunan tidak lestari sehingga
merosakkan alam sekitar.

“Bagi mencapai semua matlamat itu, kita perlu komited untuk melakukan beberapa
langkah, antaranya pertama, mengamalkan prinsip ekonomi kitaran atau ‘circular
economy ’iaitu sentiasa berusaha memanjangkan hayat produk-produk yang digunakan
dengan berhemah melalui berkongsi, guna semula, perbaiki dan mengitar semula.

“Kedua, mengambil peluang sepenuhnya perubahan dan kemajuan teknologi digital, robotik dan dron. Ini seperti penghutanan semula secara besar-besaran dan boleh
dilakukan dengan menggunakan dron,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Sidang Kemuncak Matlamat
Pembangunan Mampan Malaysia peringkat Wilayah Sabah 2024 di Sabah International
Convention Center (SICC) di sini, pada Khamis.

Langkah ketiga pula ialah peluang mendapatkan kualiti pendidikan melalui pendidikan
atas talian dan keempat, penyertaan menyeluruh dari semua lapisan masyarakat adalah
amat penting.

“Menerusi langkah keempat ini, kita harus terus mendidik dan mengasuh setiap individu
tentang konsep Sustainability atau kemampanan. Kesedaran disiplin, komitmen dan
gaya hidup harus diasuh supaya sikap dan tindakan setiap dari kita adalah ‘consistent ’ dan akur dengan SDG,” katanya.

Sehubungan itu katanya kerajaan negeri turut memperuntukkan sejumlah RM144.44
juta untuk melancarkan pelaksanaan pelbagai aktiviti dan inisiatif demi mencapai
pembangunan yang seimbang dengan mengambil kira elemen kelestarian hijau di Sabah, pada tahun ini.

“Saya juga berharap inisiatif untuk menjajarkan Pembangunan Sosio-Ekonomi di Sabah
dengan SDG akan diteruskan dengan bersungguh-sungguh. Semoga hasil daripada
sidang ini dapat membantu pembuat dasar, pemegang taruh, individu, masyarakat dan
orang ramai lebih peka dan sensitif dengan isu-isu SDG.

“Bagi pihak kerajaan negeri, saya berasa bangga kerana sidang ini turut memberikan
ruang kepada agensi Kerajaan Negeri Sabah mengemukakan sebahagian daripada
inisiatif-inisiatif yang sudah dilaksanakan termasuk Melindungi Biodiversiti dan
Ekosistem Hutan serta Pemuliharaan dan Pengurusan Sumber Perikanan melalui
Sistem Tagal,” katanya.

Katanya, kerap dilaporkan menerusi saluran media bahawa isu kemampanan atau
“sustainability” telah menjadi dilema manusia iaitu untuk mencapai keseimbangan
antara Pembangunan Sosio-Ekonomi yang pesat dan kegigihan secara global untuk
memenuhi matlamat pembangunan mampan dan lestari.

“Pertembungan agenda ini menjadikan usaha “to strike the balance” adalah cukup mencabar bagi sebahagian besar manusia, kelompok, wilayah dan negara. Kerosakan
dan bencana alam berlaku kerana sikap mementingkan diri dan kerakusan oleh
sebahagian besar manusia sehingga terlupa untuk menyimpan dan mewariskan
kepada generasi yang akan datang.

“Kelalaian manusia yang tidak bertanggunjawab menyebabkan kita telah dilanda
bencana dan krisis yang bersilih ganti. Justeru, kerajaan negeri komited untuk
menjayakan agenda SDG ini,” katanya.-pr/BNN