KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan terus berusaha memastikan keamanan dan ketenteraman yang dikecapi rakyat berbilang kaum di negeri ini terus kekal terpelihara,
kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Beliau berkata keamanan itu memberi peluang kepada rakyat untuk menyambut dan
meraikan perayaan serta kebudayaan masing-masing seperti Tahun Baharu Cina, dalam keadaan harmoni.

“Kerajaan negeri juga akan terus memberi sokongan untuk memastikan kepelbagaian
perayaan dan kebudayaan rakyat dapat dipertahankan sekali gus terus diwarisi generasi
akan datang.

“Kita bersyukur kerana rakyat Malaysia di Sabah, terutamanya yang berketurunan
Tionghua akan menyambut Tahun Baharu Cina pada tahun ini, iaitu Tahun Naga dalam
suasana aman, harmoni dan penuh kegembiraan.

“Semoga kehadiran tahun baharu ini membawa lebih banyak kemajuan ekonomi dan
kemakmuran kepada rakyat serta negeri ini, selain meningkatkan lagi pelbagai sektor
termasuk industri pelancongan, pelaburan serta pembangunan modal insan,” katanya
dalam perutusannya sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2024, di sini pada Khamis.

Hajiji dalam perutusannya turut menyampaikan ucapan Tahun Baharu Cina kepada
semua masyarakat Tionghua di negeri ini.

“Bagi pihak kerajaan negeri dan keluarga, saya mengucapkan Selamat Menyambut
Tahun Baharu Cina, Gong Xi Fa Cai kepada semua masyarakat Tionghua dan yang
meraikannya di negeri ini,” katanya.-pr/BNN