KOTA KINABALU: Kerajaan negeri bakal mengadakan kerjasama dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi penajaan pelajar negeri ini untuk menjalani program pengajian kitab turath secara eksklusif selama tiga tahun di universiti berkenaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata ini antara usaha diambil untuk mendalami ilmu turath. “Program yang dinamakan sebagai Duta Turath Sabah@USIM ini ditawarkan kepada pelajar negeri Sabah yang menyambung pengajian di USIM.

“Saya melihat usaha ini sebagai satu inisiatif yang amat baik khususnya untuk kita
semua mendapat manfaat daripada ilmu turath ini.

“Besar harapan saya agar pelajar yang berjaya melalui program ini dapat menjadi
ilmuan yang mampu memainkan peranan bagi pemerkasaan turath Islam di negeri
Sabah setelah menamatkan pengajian nanti,” katanya ketika merasmikan Simposium
Antarabangsa Turath Sabah, Malaysia 2024 di Magellan Sutera Harbour Resort di sini
pada Khamis.

Teks ucapan beliau disampaikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Arifin
Arif. Dalam masa sama, beliau menyeru umat Islam di Sabah untuk memperkasakan diri
dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan perubahan sikap yang merupakan antara
penzahiran akhlak yang baik.

“Ini bagi meningkatkan dan memperkasakan ilmu pengetahuan serta penghayatan
Islam untuk melahirkan modal insan yang dinamik dan inovasi.

“Saya berharap semoga semua yang menghadiri simposium ini akan mendapat ilmu
pengetahuan yang bukan saja untuk diri sendiri malah dikongsikan dengan umat Islam
di negeri ini,” katanya.

Simposium ini antaranya bertujuan memartabatkan kitab-kitab turath Islam dan
menzahirkan sumbangannya agar sentiasa relevan kepada umat sehingga hari ini.

Sehubungan itu beliau berharap program ini akan memberi manfaat dan ilmu yang berguna kepada umat Islam di negeri ini.

“Dalam masa sama, menerusi program ini juga akan dapat membincangkan kerangka
sebenar pembacaan kitab turath agar isi kandungan yang terdapat di dalamnya dapat
dimanfaatkan.

“Sesungguhnya, mempelajari kitab Turath adalah penting dan perlu dijadikan sebagai panduan bagi mendalami ilmu serta memahaminya, sekali gus disesuaikan dengan konteks dunia Islam semasa,” katanya. -pr/BNN